Susulan kes-kes menghina Nabi Muhammad dan agama Islam yang sering dilaporkan kebelakangan ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof hari ini mengumumkan penubuhan unit pemantauan.
Mujahid dalam kenyataan medianya berkata, unit itu akan diselia Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
"Satu unit memantau tindak-tanduk pihak yang tidak bertanggungjawab ini telah ditubuhkan.
"Inisiatif menubuhkan unit ini yang diselia oleh Jakim bertujuan memantau penulisan atau provokasi yang bersifat menghina Nabi Muhammad SAW serta agama Islam di semua platform media termasuk media sosial," katanya.
Jelas Mujahid, unit berkenaan juga akan menerima sebarang aduan berhubung perbuatan seumpamanya dan seterusnya akan membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
"Saya berharap kita semua dapat berganding bahu bagi menjaga dan mengekalkan keharmonian negara kita. Saya percaya, pihak berkuasa telah melakukan tindakan sewajarnya untuk menangani isu ini.
"Di pihak saya, menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama Islam sama sekali tidak akan berkompromi dengan perbuatan menghina Nabi Muhammad SAW serta agama Islam.
"Negara kita mempunyai undang-undang. Pihak yang bersalah mesti dijatuhkan hukuman yang setimpal," katanya.
Mujahid turut menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau aduan, agar menyalurkannya melalui WhatsApp ke talian hotline 010 300 5260 atau emelkan kepada [email protected]