Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menyarankan dialog antara agama diperbanyakkan bagi memberi kefahaman mengenai agama masing-masing dan seterusnya mencari titik persamaan dalam isu sejagat seperti penindasan, pengganas dan masalah sosial.
"Dialog dan persefahaman antara satu sama lain merupakan prasyarat untuk membina hubungan yang adil dan saksama antara pelbagai budaya dan peradaban," kata Yang Dipertua Yadim Nik Omar Nik Abdul Aziz dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata Yadim turut menyeru rakyat negara ini supaya menghentikan sebarang bentuk provokasi khususnya berkaitan dengan agama di semua platform.
Katanya meskipun kerajaan hari ini bersikap terbuka dan menyokong kebebasan bersuara serta kebebasan media, masyarakat dinasihatkan supaya sentiasa peka dan berhati-hati agar tidak menyebarkan fitnah dan berita palsu serta mengambil kesempatan untuk mencetuskan ketidakharmonian antara agama.
"Kedaulatan agama Islam sentiasa diletakkan di tempat tertinggi berasaskan kepada kedudukannya sebagai Agama Persekutuan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang seharusnya sentiasa dihormati rakyat negara ini," katanya.
Nik Omar berkata Yadim juga menyambut baik tindakan pantas kerajaan dalam menangani isu penghinaan terhadap Rasulullah SAW melalui pendakwaan dua individu di mahkamah dalam tempoh sebulan, yang membuktikan kerajaan tidak pernah memandang ringan isu berkenaan seperti didakwa sesetengah pihak.
Yadim turut meminta agar titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam, dihayati semua pihak sama ada orang Islam atau bukan Islam kerana perbuatan menghina Rasulullah boleh menggugat keharmonian dan perpaduan rakyat, katanya.
- Bernama