Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Belum ada keputusan permohonan bekas ketua Pemuda Umno sertai Bersatu

Bersatu belum membuat sebarang keputusan mengenai permohonan bekas ketua menteri Melaka Rahim Tamby Chik untuk menyertai parti itu.

“Keputusan itu belum dibuat oleh kepimpinan kita lagi,” kata Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Rahim memohon untuk menyertai Bersatu pada Disember tahun lalu.

Susulan itu, Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong dari DAP menggesa Bersatu untuk menolak permohonan bekas ketua menteri itu atas dakwaan beliau adalah pemimpin yang terpalit dengan pelbagai skandal.

Antaranya, Khoo mendakwa Rahim adalah sebahagian daripada anggota 'tiga Datuk’ yang menayangkan video seks kepada sekumpulan wartawan pada 2011.

Mereka mendakwa video itu memaparkan Presiden PKR Anwar Ibrahim bersama seorang pelacur. Anwar menafikan dakwaan itu.

Khoo juga berkata Rahim, yang menjadi ketua menteri Melaka selama 12 tahun, disiasat bagi dakwaan rogol statutori terhadap seorang individu bawah umur pada 1994. Kes itu kemudian digugurkan kerana kekurangan bukti.

Rahim yang juga adalah bekas ketua pemuda Umno semalam menghantar surat tuntutan undang-undang kepada Khoo dan menggesanya memohon maaf dan membayar pampasan RM1.5 juta.

Khoo walau bagaimanapun bertegas enggan memohon maaf.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS