Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib: 10 tahun saya jadi PM, Khazanah tak pernah rugi
Diterbitkan:  Mar 5, 2019 12:17 PM
Dikemaskini: 4:17 AM

Bekas perdana menteri Najib Razak mempertikaikan nilai aset bersih Khazanah Nasional yang turun sebanyak 21.6 peratus menjadi RM25 bilion berbanding jumlah RM91 bilion pada akhir tahun 2018 dan RM116 bilion tahun sebelumnya.

Katanya, Khazanah merekodkan kerugian RM6.3 bilion untuk tahun 2018 berbanding untung RM2.896 bilion tahun sebelumnya di bawah pentadbiran BN.

“Dalam tempoh sepuluh tahun saya menjadi PM dan pengerusi syarikat itu, Khazanah tidak pernah rugi.

“Nilai asetnya juga tidak pernah turun dan naik setiap tahun semasa saya PM.

“Dalam tempoh sepuluh tahun ini, nilai aset bersih (net asset value) Khazanah telah naik RM82.3 bilion (244 peratus) dari RM33.7 bilion pada akhir tahun 2008 kepada RM116 bilion pada akhir 2017.

“Setelah PH ambil alih, nilai Khazanah terus jatuh RM25 bilion menjadi RM91 bilion,” katanya melalui satu hantaran di Facebook hari ini.

 Secara sinis bekas perdana menteri berkata, kerugian itu tidak menjadi masalah.

“Tak apalah, RM91 bilion itu masih banyak.

“Banyak lagi aset Khazanah boleh jual. Jual lagi semasa harga murah,” katanya.

Pengarah Urusan Khazanah, Shahril Ridza Ridzuan dalam kenyataan medianya berkata portfolio Khazanah terjejas akibat ketidaktentuan ekonomi global pada 2018.

Ini menyaksikan pasaran perlahan susulan ketegangan geopolitik serta unjuran lemah pertumbuhan negara pesat membangun.

Justeru, katanya bagi 2019, Khazanah, akan memberi tumpuan kepada mengimbangkan kembali strategi portfolio dan mengukuhkan kedudukan kewangan.

Aspek berkenaan termasuk memberi tumpuan kepada aset strategik seperti lapangan terbang di bawah Malaysia Airports, konsesi lebuhraya di bawah PLUS serta Malaysia Airlines.

“Kami memberi tumpuan kepada aset strategik asas yang memberikan kesan berpanjangan kepada ekonomi Malaysia," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS