Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Pemuda DAP: Kalah di Cameron, Semenyih kegagalan bersama
Diterbitkan:  Mar 5, 2019 12:03 PM
Dikemaskini: 4:04 AM

Kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam PRK Cameron Highlands dan Semenyih adalah kegagalan bersama dan bukannya DAP sahaja, kata pemuda DAP.

Naib Ketua Pemuda DAP Muhammad Shakir Ameer mengulas kenyataan Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan Dr Rais Yatim yang menyifatkan imej DAP yang kurang disenangi orang Melayu, termasuk di Semenyih, menjadi sebab kekalahan PH minggu lalu.

"Tidak adil bagi seorang pemimpin Bersatu seperti Rais Yatim untuk menyalahkan DAP atas kekalahan di Semenyih baru-baru ini.

"Beliau tidak sepatutnya dengan mudah terperangkap dengan naratif PAS-Umno yang memburukkan imej DAP.

"Kemenangan PRU ke-14 adalah kejayaan bersama empat parti komponen PH. DAP berjaya memberikan jumlah kerusi yang diperlukan yang turut menyumbang kepada kemenangan PH.

"Kekalahan dalam dua PRK terakhir juga kegagalan bersama PH secara keseluruhan. Maka kekalahan di Semenyih perlu dilihat sebagai tanggungjawab bersama keempat-empat parti komponen," katanya dalam kenyataan hari ini.

Shakir Ameer

Menurut laporan Utusan Malaysia semalam, Rais berkata PH perlu melunakkan imej DAP jika mahu orang Melayu kembali memberi tumpuan kepada kes yang dihadapi bekas perdana menteri Najib Razak.

Beliau berkata demikian ketika mengulas sama ada sentimen anti-DAP di kalangan orang Melayu turut menjadi punca kekalahan PH.

'Berhenti tuding jari'

Shakir mengingatkan pemimpin PH agar tidak saling menuding jari untuk setiap kegagalan.

Sebaliknya mereka perlu mengambil pengajaran daripadanya dan mencari jalan untuk kembali mendapatkan kepercayaan rakyat, katanya lagi.

Katanya, PH juga tidak boleh bergantung kepada dakwaan terhadap Najib untuk mengekalkan sokongan rakyat.

"Rakyat tahu Najib korup, sebab itulah dia kehilangan kuasa. Kita tidak boleh terus bergantung kepada dakwaan terhadap seorang individu untuk dapatkan sokongan.

"Sokongan datang daripada kita, secara kolektif sebagai PH, dan bukan kelemahan seorang individu atau partinya yang telah pun hilang kuasa," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS