Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Sykt M'sia, China meterai perjanjian minyak sawit bernilai AS891 juta
Diterbitkan:  Mar 4, 2019 9:17 PM
Dikemaskini: 1:17 PM

Empat syarikat Malaysia akan mengeksport 1.62 juta tan metrik minyak sawit bernilai US$891 juta ke China, di bawah perjanjian niat pembelian yang dimeterai dengan tiga syarikat dari China.

Yantai Tianmao Edible Oil Co Ltd bersetuju membeli 100,000 tan metrik stearin sawit ditapis, diluntur dan dinyahbau (RBD) daripada Sime Darby Plantation Bhd, manakala Yihai Kerry (Shanghai) International Trading Co Ltd akan membeli 1.3 tan metrik olein sawit RBD daripada PGEO Marketing Sdn Bhd.

Perjanjian ketiga adalah antara Yizheng Fangshun Industry Ltd and Cacao Paramount Sdn Bhd serta SOP Edible Oils Sdn Bhd masing-masing bagi pembelian 120,000 tan metrik stearin sawit RBD dan 100,000 tan metrik olein sawit RBD.

Perjanjian itu dimeterai oleh syarikat-syarikat tersebut di Kuala Lumpur, hari ini, disaksikan oleh Menteri Industri Utama Teresa Kok Suh Sim yang berkata pembelian itu akan mengurangkan bekalan stok minyak sawit Malaysia dan meningkatkan harga komoditi tersebut.

Majlis permeteraian itu diadakan di luar acara Forum Perniagaan Minyak Sawit Malaysia-China, di ibu negara, hari ini.

"Permeteraian ini juga merupakan susulan kepada persetujuan yang dicapai semasa mesyuarat antara Malaysia dan China pada Ogos 2018 untuk meningkatkan pengambilan minyak sawit Malaysia oleh China sebanyak 500,000 tan metrik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan forum tersebut.

Duta China ke Malaysia, Bai Tian berkata negara itu mungkin akan membeli lebih banyak minyak sawit dan produk minyak sawit Malaysia pada masa depan.

"Saya menggesa kedua-dua usahawan China dan Malaysia untuk menjalin kerjasama hiliran dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi memanfaatkan potensi besar produk berkaitan minyak sawit, pemprosesan bernilai tinggi dan malahan produk biofuel,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS