Syarikat pemaju projek terowong dasar laut Pulau Pinang, Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZC) menafikan dakwaan rasuah yang disiarkan laman Malaysia Today milik Raja Petra Kamaruddin.
Pengarah Eksekutif Kanan CZC Zarul Ahmad Zulkifli menyifatkan artikel tersebut - berkenaan projek terowong dasar laut dan projek jalan raya di negeri itu - sebagai "jahat".
Ditanya sama ada beliau merancang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Raja Petra, Zarul berkata "ia satu pembaziran sumber kerana dia tiada dalam negara."
"Saya mahu menumpukan masa dan usaha untuk projek ini," katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Menafikan dakwaan Raja Petra itu, Zarul berkata ia "rekaan semata-mata" dan jelas bertujuan memburukkan namanya, syarikat dan kerajaan Pulau Pinang.
Terdahulu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng menyifatkan dakwaan Malaysia Today sebagai "pembohongan mengarut" dan berkata CZC mendapat kontrak projek itu melalui tender terbuka.
Antara dakwaan itu adalah berkenaan pengakuan Zarul - dikatakan menerusi kertas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bocor - memberi rasuah kepada exco kerajaan negeri, dan Lim salah seorang daripadanya.
2 Februari lalu, SPRM membuat laporan polis terhadap Raja Petra berhubung perkara itu.
Mengulas lanjut, Zarul berkata syarikatnya sudah memberi kerjasama penuh terhadap siasatan terperinci SPRM.
"Saya pernah direman selama sebelas hari oleh SPRM untuk apa yang digelar sebagai siasatan terperinci terhadap projek itu," katanya sambil menambah kakitangan syarikatnya juga telah dipanggil untuk memberi keterangan.
Malah katanya SPRM menggunakan khidmat perunding luar untuk memastikan syarikatnya menetapkan harga yang adil untuk projek itu.
"Jelas, dengan mengambil kira saiz projek, harga yang ditetapkan adil dan mempunyai justifikasi.
"Saya ingin ingatkan bahawa kes ini telah selesai disiasat sebelum pertukaran kerajaan. Ada banyak masa untuk mendakwa saya dan pihak lain yang didakwa menerima rasuah," katanya lagi.