Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SKMM: Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia sedang dikaji
Diterbitkan:  Mar 3, 2019 6:28 PM
Dikemaskini: 10:28 AM

Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memberikan punca kuasa penguatkuasaan media sosial dan internet kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang dikaji dan diperkemaskan untuk memastikan skop dan penggunaannya tidak memberi ruang untuk disalahgunakan.

MCMC dalam kenyataan hari ini berkata ia antara usaha yang dilakukan SKMM bagi memastikan sebarang anasir yang boleh menggugat kesejahteraan masyarakat dan negara dapat dikawal dan dibendung sepenuhnya.

"Selain itu, suruhanjaya itu akan mempergiatkan lagi aktiviti mendidik masyarakat melalui program-program advokasi Klik Dengan Bijak untuk memupuk pembudayaan penggunaan internet secara positif dan berhemah," menurut kenyataan itu.

SKMM berkata ia menyedari terdapat segelintir pihak yang bertindak menyebarkan agenda yang boleh memecahbelahkan perpaduan antara kaum serta mengganggu gugat ketenteraman awam, lantas menjurus kepada polemik perkauman dan keagamaan.

Sehubungan itu, SKMM berkata pihaknya menerusi kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menggugat keselamatan, kestabilan dan keharmonian negara menerusi penyalahgunaan saluran media sosial dan Internet.

"Sebanyak 47 kertas siasatan telah dibuka oleh MCMC antara tahun 2018 hingga Februari tahun ini dengan lima daripadanya telah dijatuhkan hukuman. Dalam tempoh yang sama, sejumlah 2,358 proses bantuan teknikal dan pengenalpastian maklumat bagi membantu proses siasatan agensi penguatkuasaan telah dilaksanakan oleh SKMM.

"Selain itu, sebanyak 3,407 akaun media sosial palsu termasuk disalahgunakan untuk penyebaran mesej bersifat ekstrimis, kebencian dan fitnah serta 1,163 kandungan berunsur sama telah disusuli dengan tindakan pemadaman dengan kerjasama pihak pengendali platform media sosial antarabangsa," demikian menurut kenyataan itu.

Dalam tempoh yang sama, SKMM turut membantu menguar-uarkan maklumat bagi menangani 979 berita palsu yang tular di media sosial dan internet, melalui inisiatif portal sebenarnya.my yang dikendalikannya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS