Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Biar hilang deposit, jangan hilang prinsip'
Diterbitkan:  Mar 3, 2019 12:20 AM
Dikemaskini: 4:20 PM

PRK SEMENYIH | Calon PSM Nik Aziz Afiq Abdul tampak tidak kecewa dengan keputusan PRK kali ini.

Malah beliau berkata ujian sebenar buat dirinya bermula esok - iaitu untuk tidak mengecewakan 847 pengundi yang memilihnya pada PRK ini.

"Apakah saya akan melaksanakan apa yang saya katakan sebelum ini iaitu untuk terus berkhidmat walaupun kalah.

"Jika saya tidak laksanakan apa yang saya katakan, itu tanda saya tak hargai kepercayaan 847 orang yang mengundi saya dan PSM hari ini," katanya lagi.

"Kita boleh hilang deposit dan diketawakan tetapi kita tak boleh hilang prinsip dan arah perjuangan," katanya lagi.

Jumlah itu menempatkannya di kedudukan ketiga pada PRK kali ini. Calon bebas Kuan Chee Heng di tempat terakhir dengan 725 undi.

Pada PRU lalu PSM mendapat 1,293 undi.

Sementara itu Anggota Jawatankuasa Pusat PSM S Arutchelvan menyifatkan keputusan itu menunjukkan rakyat Malaysia belum bersedia untuk menerima alternatif ketiga dalam politik negara.

Beliau berkata PSM menerima hakikat pahit hilang deposit dalam PRK ini.

"Keputusan ini walaupun pedih, hanyalah menggambarkan hakikat politik negara hari ini di mana pengundi masih belum bersedia menerima alternatif politik ketiga yang progresif.

"Mungkin juga masa adalah terlalu singkat sejak PRU lalu untuk membolehkan alternatif baru ini berkembang dan maju," katanya dalam kenyataan.

Mengucapkan tahniah kepada calon BN Zakaria Hanafi, Arutchelvan menyifatkan keputusan hari ini amaran jelas bahawa kombinasi Umno-PAS - yang disifatkannya sebagai satu gabungan perkauman - akan membawa negara menjurus kepada politik perkauman yang bahaya.

"Hanya politik progresif yang tidak berlandaskan perkauman sahaja yang menjadi alternatif terbaik untuk rakyat, di mana kepentingan dan kebajikan rakyat diletak lebih tinggi daripada kepentingan korporat dan pemodal," katanya yang menjadi pengarah pilihan raya pada PRK ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS