PRK SEMENYIH | Bekas perdana menteri Najib Razak berkata kemenangan BN di Semenyih membuktikan pengundi mahukan kerajaan PH menunaikan janji mereka dan bukan menyerang dirinya.
"Rakyat bukan nak mereka attack saya.
"Rakyat nak tahu bagaimana mereka tunaikan janji," kata bekas presiden Umno itu kepada pemberita di Semenyih malam ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita yang bertanya jika kemenangan BN suatu yang wajar selepas serangan PH terhadap dirinya.
Kerusi DUN Semenyih kembali dikuasai BN selepas pengundian hari ini selepas calonnya Zakaria Hanafi mengalahkan calon PH Muhammad Aiman Zainaldengan majoriti 1914 undi.
Zakaria Hanafi mendapat 19,780 undi, manakala Aiman memperolehi 17,866 undi.
Sementara itu, calon PSM Nik Aziz Afiq Abdul mendapat 847 undi dan calon Bebas Kuan Chee Heng 725 undi. Kedua-dua calon bebas dan PSM hilang wang pertaruhan.
BN kalah kerusi DUN Semenyih untuk pertama kali pada pilihan raya umum 2018 lalu yang mana PAS turut bertanding. Pada PRK Semenyih ini persefahaman dicapai antara PAS dan Umno untuk tidak lagi bertanding tiga penjuru.