Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Langsung: Undi Melayu terhadap BN jauh meningkat

 

 LAPORAN LANGSUNG



Terima kasih kerana mengikuti laporan langsung Malaysiakini

Pengumuman rasmi oleh SPR menutup tirai liputan langsung Malaysiakini bagi PRK Semenyih.

Laporan oleh Kow Gah Chie (ketua pasukan), Haspaizi Zain, Wong Kai Hui dan M Fakrull Halim. Gambar oleh Lim Huey Teng and Azneal Ishak; pasukan lapangan video KiniTV oleh Baharuddin Suarnur, Azfar Afandi Zulkfley, Vivian Yap, Faye Liow, Faidzal Mokhtar dan Mastura Malak; Grafik dan media sosial oleh Syariman dan Ewe Ying Yenn; analisis oleh Andrew Ong.

Untuk membuat liputan PRK ini, Malaysiakini mengerahkan separuh daripada pasukan editorial dan hampir semua pasukan KiniTV. Sokong media bebas dengan melanggan Malaysiakini dengan serendah 55 sen sehari. Maklumat lanjut di sini.


Sokongan Melayu: PH turun sedikit, BN jauh meningkat

9.50pm - Malaysiakini menganggarkan PH mendapat 37.73 peratus undi Melayu dalam PRK Semenyih.

Ia menurun berbanding 44.25 peratus yang diraih ketika PRU ke-14.

Bagi undi Melayu kepada BN pula, anggaran Malaysiakini adalah 59 peratus - jauh lebih tinggi berbanding 35.33 peratus pada PRU ke-14.

Ia mungkin tanda bahawa pengundi yang memilih PAS pada PRU lalu mengundi BN kali ini.

Pusat daerah mengundi (PDM) yang menunjukkan peralihan sokongan yang paling jelas adalah kantan permai dan Bukit Mahkota - dua kawasan Majoriti Melayu kelas menengah.

Pada PRU lalu, PH menang di dua kawasan itu dengan mendapat lebih separuh undi. Kali ini, kira-kira lapan peratus daripadanya dianggarkan beralih kepada BN.

Peratusan keluar mengundi di dua PDM ini kira-kira 70 peratus - tiga peratus lebih rendah berbanding peratusan keluar mengundi keseluruhan iaitu 73.24 peratus.

Ia membayangkan pengundi Melayu luar bandar lebih ramai keluar mengundi berbanding Melayu yang tinggal di bandar.


Aiman: Kekalahan tak halang khidmat pada rakyat

9.30pm - Calon PH Muhammad Aiman Zainali yang keluar dari bilik gerakan gabungan itu menerima tepukan gemuruh daripada penyokong.

Ketika keluar dia disambut pelukan erat seorang demi seorang penyokong yang memberikan kata-kata semangat buat pemuda berusia 31 tahun itu.

Bercakap kepada pemberita, Aiman tidak akan menjadikan kekalahannya sebagai penghalang untuk dirinya berkhidmat kepada rakyat Semenyih.

Bagaimanapun, Aiman tidak mahu mengulas ketika ditanya pemberita jika dia terkilan kerana telah mengecewakan barisan kepimpinan PH.


SPR umum keputusan rasmi

9.25pm - Pegawai pilihan raya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan keputusan rasmi PRK Semenyih.

Calon BN Zakaria Hanafi menang dengan majoriti 1,914 undi, selepas mendapat 19,780 undi menewaskan calon PH Muhammad Aiman Zainali yang mendapat 17,866 undi.

Calon PSM Nik Aziz Afiq Abdul pula mendapat 847 undi dan calon Bebas Kuan Chee Heng 725 undi.

BN mendapat 50.44 peratus undi, meningkat daripada 30.88 peratus pada PRU lalu. Boleh dikatakan antara faktor utama peningkatan itu adalah undi daripada penyokong PAS. 

Terdapat 650 undi rosak dan peratusan keluar mengundi adalah 73.24 peratus.


Najib tiba di pusat penjumlahan undi

9.05pm - Bekas perdana menteri Najib Razak tiba di pusat penjumlahan undi.

Beliau mendapat sambutan meriah daripada anggota dan penyokong BN yang kemudiannya bergilir-gilir untuk berswafoto dengannya.

Semalam, Najib berkata beliau akan ke Semenyih jika calon BN Zakaria Hanafi menang dalam PRK ini.


Syed Saddiq: Tahniah BN, maaf penduduk Semenyih

8.53pm - Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengucapkan tahniah kepada BN selepas keputusan tak rasmi menunjukkan gabungan itu menang dalam PRK Semenyih.

"Tahniah BN atas kemenangan di Semenyih.

"Kepada penduduk Semenyih, saya susun sepuluh jari memohon maaf kalau ada yang terkurang," katanya di Twitter.

Beliau juga menyatakan penghargaan kepada jentera PH yang berusaha sepanjang dua minggu kempen.

"Keluarga ini akan terus melangkah ke depan sambil bermuhasabah," katanya lagi.


Pemimpin BN senyum sampai ke telinga

8.50pm - Pemimpin BN diketuai Naib Presiden Umno Khaled Nordin dan rombongannya kira-kira 30 orang tiba di pusat penjumlahan undi di Dewan Seri Cempaka di Kajang. Mereka kelihatan gembira dan tersenyum lebar.

Turut kelihatan Ketua Penerangan PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir.

Calon bebas Kuan Chee Heng juga hadir dan mengucapkan terima kasih kepada pihak media yang memberi sokongan kepadanya.

"Kita patut datang dan mengucapkan tahniah kepada pemenang. Kita orang gentleman," kata Kuan.


Pemuda Umno: Terima kasih pengundi Semenyih

8:40pm - Walaupun SPR belum mengumumkan keputusan rasmi tetapi Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki telah mengisytiharkan kemenangan BN.

Asyraf membuat ciapan di Twitter bagi mengucapkan terima kasih kepada pengundi Semenyih. Pada hantaran yang sama disertakan foto yang memaparkan diri ketua pemuda Umno itu bersama Timbalan Presidennya Mohamad Hasan, Naib Presiden Ismail Sabri dan Setiausaha Agung parti Annuar Musa.

"Berada di Command Centre BN bersama pimpinan tertinggi BN. Alhamdulillah, keputusan tidak rasmi BN MENANG dalam PRK DUN Semenyih. Terima kasih seluruh pengundi Semenyih," tulisnya.


Sokong Malaysiakini dengan jadi pelanggan

Selama 20 tahun, Malaysiakini telah membuat liputan banyak pilihan raya - PRU dan PRK. Ia melibatkan pelaburan besar, dari segi masa dan sumber manusia, untuk menjadi pemerhati pilihan raya dan membantu pengundi membuat pilihan.

Sokong media bebas dengan menyertai program langganan kami, dengan serendah 55 sen sehari. Maklumat lanjut di sini.


Tak rasmi: BN menang PRK Semenyih

8.25pm - BN berjaya merampas kerusi DUN Semenyih, menurut kiraan Malaysiakini berdasarkan keputusan tak rasmi.

Kemenangan itu adalah pertukaran kerusi yang pertama selepas pilihan raya umum 9 Mei 2018.

Sebelum ini, kesemua pilihan raya kecil selepas pilihan raya umum ke-14 dimenangi parti penyandang.

Ia juga merupakan kemenangan kedua BN dalam enam PRK yang diadakan selepas PRU ke-14.

Setakat 8.20 malam ini, calon BN Zakaria Hanafi mendapat 18,864 iaitu kira-kira 49.98 peratus daripada keseluruhan undi.

Jumlah itu adalah lebih separuh daripada keseluruhan undi, berdasarkan peratusan keluar mengundi 73.3 peratus.

Calon Pakatan Harapan Muhammad Aiman Zainali mendapat 17,350 undi.

Dengan kemenangan ini, BN kini mempunyai lima kerusi DUN di Selangor manakala kerusi PH pula berkurangan kepada 50.


BN mendahului lebih 1,500 undi

8.20pm - BN sekali lagi mendahului PH dengan lebih 1,500 undi.

Menurut keputusan tidak rasmi, BN kini meraih 18,854 undi manakala PH 17,350 undi.

Calon bebas Kuan Chee Heng mendapat 689 undi dan PSM dengan 838 undi.


Peratusan mengundi 73.3 peratus - SPR

8.15pm - Menurut SPR, kadar peratusan keluar mengundi bagi PRK Semenyih adalah sebanyak 73.3 peratus.


BN rampas 5 PDM dari PH

8.10pm - Menurut kiraan tidak rasmi, BN merampas sekurang-kurangnya lima pusat daerah mengundi (PDM) yang dimenangi PH pada PRU ke-14.

PDM tersebut ialah Bukit Mahkota, Kantan Permai, Bandar Rinching Seksyen 5-6, Penjara Kajang dan Beranang.

Kemenangan BN di Bukit Mahkota dan Kantan Permai sangat signifikan kerana PH menang dengan 52.45 peratus dan 54.71 peratus undi di dua PDM itu pada PRU lalu.

Ia menunjukkan ada peralihan sokongan besar di dua PDM majoriti Melayu itu.


PH rapatkan jurang

7.45pm - PH merapatkan jurang dengan BN namun masih ketinggalan lebih 600 undi.

Menurut keputusan tidak rasmi, BN kini mendahului dengan 17,067 undi manakala PH mendapat 16,457 undi.

Calon bebas Kuan Chee Heng mendapat 628 undi dan PSM dengan 782 undi.


Pengundi India masih sokong PH

7.40pm - Data daripada kiraan tidak rasmi menunjukkan sokongan pengundi bukan Melayu kekal bersama PH, walau menurun sedikit di kebanyakan pusat daerah mengundi (PDM) di mana mereka sebagai majoriti.

Misalnya di PDM Bandar Rinching Seksyen 1-4, yang mana 48.2 peratus adalah pengundi India, undi PH kekal pada kadar 59.5 peratus.


BN rampas pusat daerah mengundi dari PH

7.30pm - Terdapat 24 pusat daerah mengundi (PDM), termasuk pengundi awal, di DUN Semenyih.

Setakat ini, BN berjaya menang di dua PDM yang dimenangi PH pada PRU lalu, iaitu Penjara Kajang dan Beranang.

Menurut kiraan tidak rasmi, BN berpotensi menang di sebelas PDM manakala PH di empat PDM.


Uncle Kentang mengaku kalah

7.20pm - Calon Bebas Kuan Chee Heng, atau lebih dikenali dengan nama Uncle Kentang, mengaku kalah dalam PRK Semenyih.

Beliau menggesa penyokongnya agar kekal tenang dan tidak bersedih dengan perkara itu.

"Saya melihat kepada 50 hingga 100 undi (yang diterima). Jangan risaukan saya. Saya sedia kalah besar," katanya lagi.

Sepanjang kempen, kata Kuan, beliau telah berjaya membentuk jaringan dengan golongan susah di DUN itu.


Melayu lebih ramai keluar mengundi

7.10pm - Berdasarkan kiraan tidak rasmi, kadar peratusan keluar mengundi orang Melayu lebih tinggi berbanding kaum-kaum lain.

Misalnya, kadar keluar mengundi bagi Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Rinching, Kuala Pajam dan Sesapan Batu Rembau - yang mana hampir semua pengundi terdiri daripada orang Melayu - adalah sebanyak 80 peratus.

Di ketiga-tiga PDM ini, undi yang didapatkan calon PH dianggarkan lebih kurang sama dengan keputusan PRU14 lalu tetapi undi yang diperolehi BN meningkat, mungkin disebabkan sokongan akar umbi PAS.


BN kini di depan

7pm - BN mendahului PH dengan kelebihan lebih 700 undi setakat ini.

Menurut kiraan tidak rasmi, BN setakat ini mendapat 9,349 undi manakala PH 8,638 undi.

PSM pula dengan 402 undi dan calon bebas Kuan Chee Heng 360 undi.


BN menang undi polis

6.23pm - Kiraan tidak rasmi undi awal - kebanyakannya oleh anggota polis - menunjukkan 75 peratus memilih BN manakala 23.5 peratus memilih Pakatan Harapan (PH).

Jangkaan keluar mengundi oleh pengundi awal adalah 62.25 peratus.


SPR siar kiraan undi secara langsung

6.10pm - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyiarkan proses kiraan undi secara langsung di salah satu pusat mengundi.

Kakitangan SPR perlu menunjukkan setiap kertas undi kepada pemerhati.

Ini mungkin kali pertama proses ini disiarkan secara langsung.

 


5.30pm - Pusat mengundi kini ditutup.

Peratusan keluar mengundi untuk PRK Semenyih kemungkian lebih tinggi berbanding lima PRK sebelumnya.

Menurut kemas kini SPR pada pukul empat petang tadi, kira-kira 68 peratus daripada 54,503 pengundi berdaftar telah membuang undi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS