PRK SEMENYIH | Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Adam mengoyak kain rentang yang memaparkan wajah isteri bekas perdana menteri Rosmah Mansor.
Terdahulu, kekecohan berlaku di pusat pengundian Sesapan Batu Rembau di antara penyokong BN dan PH ekoran kemunculan kain rentang itu.
Kain rentang itu turut disertakan dengan slogan 'malu apa bossku' yang dipopularkan suami Rosmah, Najib Razak, selain ayat yang dilihat berbaur provokasi: "Siapa boss? Aku lah boss.. Ingat Najib ke?"
Ketika wartawan tiba di kawasan berhampiran, berlaku pergaduhan kecil namun berjaya ditenangkan.
Selepas beberapa ketika, petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tiba untuk menurunkan kain rentang itu, namun dihalang penyokong PH.
Difahamkan, petugas SPR membuat keputusan tidak menurunkan kain rentang itu atas faktor keselamatan, namun akan akan membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.
Seorang individu yang mendakwa dirinya penyokong PH turut tampil mempertahankan kain rentang itu.
Tidak lama kemudian, Lokman tiba dan terus mengoyak kain rentang itu. Keadaan sedikit tegang, namun terkawal.
Diminta mengulas perkara itu pada sidang medianya, Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun berharap kejadian seumpamanya dihentikan.
"Saya tak tahu (tentang kejadian itu), SPR belum menerima apa-apa laporan. Saya rasa itu (kain rentang) mencaci dan provokasi.
"Saya harap ini diperhentikan sebab ini boleh menimbulkan masalah ketenteraman," katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan sama, individu yang sebelumnya dilihat mempertahankan kain rentang berkenaan kemudian dilihat bertengkar dengan seorang individu lain yang memakai vest yang tertera 'Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya SPR'.
Pertengkaran itu berpunca dari pertikaian baju-T dengan slogan 'malu apa bossku' yang dipakai individu memakai vest itu.
Slogan berkenaan merupakan slogan yang dipopularkan bekas presiden Umno, Najib Razak.
Selain larangan merayu undi pada hari pengundian, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 turut melarang mana-mana pihak bagi mana-mana calon atau parti politik untuk berkempen menentang mana-mana calon atau parti politik dengan sebarang cara.