Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kempen di Semenyih lebih baik berbanding Cameron Highlands

Kurang 24 jam dari hari pengundian, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyifatkan tempoh kempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih sebagai lebih baik berbanding kempen di Cameron Highlands.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, berbanding Cameron Highlands, aduan yang diterima sepanjang di Semenyih adalah berkurangan, baik di media sosial mahupun di portal berita.

“Di Cameron Highlands, kita pun sedia maklum bahawa terdapat aduan mengenai pemberian wang, penggunaan aset yang tidak sepatutnya, tapi di sini perkara-perkara begitu berkurangan saya nampak.

“Malah semalam kita semua tahu bahawa seorang menteri telah menarik balik inisiatif beliau untuk memberi peruntukan kepada pengundi. Saya rasa itu satu tindakan yang baik.

“Dan itu merupakan satu perkembangan yang paling baik kerana sebelum ini kita tak pernah dengar perkara itu terjadi. Kita anggap itu sebagai satu kemajuan,” katanya hari ini.

Dia berkata demikian dalam sidang media di Dewan Seri Cempaka, Saujana Impian selepas melakukan pemeriksaan petugas SPR dan membuat semakan isi peti undi.

Sehingga semalam, tambah Azhar, sebanyak 33 laporan polis diterima sepanjang kempen PRK, lebih sedikit berbanding 43 laporan polis yang diterima di Cameron Highlands.

Malah, jelas Azhar, tiada laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SRPM) ynag diterima setakat ini, berbanding kira-kira 13 laporan yang diterima di Cameron Highlands.

Esok merupakan hari membuang undi bagi PRK Semenyih, yang melibatkan 996 petugas, 24 pusat mengundi dan 116 saluran dibuka.

Tempoh berkempen akan berakhir pada jam 11.59 malam ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS