Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Tak perlu lompat parti, kalau usul baik kita sokong'

PRK SEMENYIH l Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tidak perlu merekrut anggota pembangkang semata-mata bagi mencapai sokongan dua pertiga di Dewan Rakyat dalam memastikan Pakatan Harapan dapat menunaikan janji yang melibatkan pindaan perlembagaan persekutuan.

Ini kerana menurut Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, jika usul yang dibentang PH itu usul sesuatu yang membawa kebaikan, pihak pembangkang sedia menyatakan sokongan tanpa perlu mereka melompat parti menyertai PH.

“Bagi kami (contohnya) menurunkan umur pengundi dan daftar secara automatik, sebenarnya tak perlu lompat parti pun. Bagi kami dalam pembangkang benda-benda baik ni kita sokong, tak perlu lompat-lompat. Kita jaga integriti

“Bahkan kami desak supaya bukan saja (diturunkan umur layak mengundi menjadi) 18 tahun, tapi mesti pendaftaran secara automatik diterima. (Maknanya) semua warganegara cukup 18 tahun automatik daftar sebagai pengundi.

“Baik untuk kita sebenarnya sebab banyak yang tak mendaftar (ialah) orang Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas ceramah perdana Umno-PAS di padang Bandar Sri Putra, pusat daerah mengundi (PDM) Bukit Mahkota malam semalam.

Tuan Ibrahim dipercayai merujuk kenyataan Dr Mahathir semalam bahawa usaha mendapatkan sokongan dua pertiga wakil rakyat penting bagi perkara-perkara yang membabitkan pindaan perlembagaan.

Dr Mahathir dilaporkan berkata, sokongan dua pertiga itu hanya boleh diperoleh apabila sesebuah parti menyokong parti lain.

Dr Mahathir juga dikatakan merekrut beberapa bekas ahli Umno menyertai Bersatu bagi mencapai tujuan sama, selain bagi mengukuhkan kedudukan parti itu dalam pakatan pemerintah.

Susulan tindakan sekumpulan pemimpin Umno keluar parti, PH serta sekutunya Warisan kini mendapat sokongan 134 ahli parlimen dalam Dewan Rakyat, selain kemungkinan mendapat lima lagi sokongan wakil rakyat Sabah - empat wakil rakyat bebas dengan seorang dari Upko.

Antara janji yang mahu dicapai melalui pindaan perlembagaan tersebut ialah mengehadkan kuasa perdana menteri untuk dua penggal serta menurunkan had umur untuk mengundi.

PAS sebelum ini menyatakan sokongan terhadap Mahathir dan menimbulkan spekulasi bahawa sokongan itu bagi menangani usaha parti komponen PH yang mahu membuat undi tidak percaya terhadap perdana menteri.

Bagaimanapun, khabar angin mengenai undi tidak percaya itu dinafikan oleh parti komponen PH yang lain.

Sekiranya semua 18 ahli parlimen PAS menyokong Mahathir jumlah keseluruhan wakil rakyat bersama beliau akan menjadi 157 orang. Ini sekali gus menyaksikan pengerusi PH itu akan mempunyai dua pertiga majoriti parlimen.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS