Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rumusan untuk tol-tol lain dua, tiga bulan lagi

Kerajaan akan memberi rumusan untuk mengambil alih konsesi lebuh raya selain empat yang diumumkan sebelum ini dalam tempoh dua atau tiga bulan lagi.

Menurut Menteri Kewangan Lim Guan Eng, kajian tersebut akan dibuat oleh Menteri Kerja Raya Baru Bian.

"Kajian akan dibuat oleh YB Baru Bian sebagai menteri kerja raya. Kita akan buat secara bersama.

"Untuk tol-tol lain kita nak lihat dari segi impaknya.

“Kita harap boleh dapat rumusan dalam dua tiga bulan ini," kata Lim pada sidang media selepas berucap pada Hari Hasil 2019 di Lembaga Hasil Dalam Negeri di Cyberjaya hari ini.

Beliau berkata demikian apabila ditanya sama ada kerajaan akan mengambil alih konsesi lebuh raya yang lain selain empat daripada Gamuda Bhd.

Pada 23 Februari, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan bahawa kerajaan telah mengadakan perbincangan untuk mengambil alih empat lebuh raya daripada Gamuda.

Lebuh raya itu adalah Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Lalu Lintas Barat KL (Sprint Expressway), Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) dan Terowong Pintar (Smart).

Bagaimanapun, apabila ditanya berhubung pampasan yang akan dibayar kerajaan kepada Gamuda, beliau enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Jelasnya, beliau bimbang sekiranya sebarang kenyataan yang dibuat akan menjejaskan banyak perkara seperti kadar faedah dan harga saham syarikat terbabit.

Pada 26 Februari, Lim berkata cadangan pengambilalihan empat konsesi lebuh raya oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan menjimatkan berbilion wang pembayar cukai.

Menurutnya, ini termasuk penjimatan RM5.3 bilion dalam bentuk pembayaran pampasan kepada syarikat-syarikat konsesi akibat pembekuan kadar tol.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS