PRK SEMENYIH | Tidak ada sebarang undang-undang atau peraturan melarang seseorang berusaha menyatukan orang Melayu, kata Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan.
Beliau yang kini menjalankan tugas presiden Umno, berkata usaha menyatukan orang Melayu dan bumiputera bukan perbuatan yang boleh dianggap rasis.
Mohamad berkata demikian sebagi menjawab dakwaan bahawa parti itu akan memainkan isu perkauman ketika berkempen dalam PRK sekarang.
"Sejak bila di negara ini jadi menyalahi undang-undang apabila saya mengajak orang Melayu bersatu?
"Sejak bila undang-undang negara ini digubal sebegitu rupa, menyeru orang Melayu umat Islam bersatu menjadi kesalahan?
"Saya hairan kita hendak menyatukan orang Melayu, bumiputera, umat Islam, tetapi kita ditekan sebegitu rupa.
"Kita dipanggil parti kafir, kita dipanggil macam-macam," katanya ketika ceramah di Bandar Sri Putra, Bangi, malam tadi.
Hadir sama, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man; Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan dan Ketua Penerangan Umno, Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Perdana Menteri Dr Mahatahir Mohamad pada 25 Feb lalu ketika mengulas mengenai kerjasama dan gabungan PAS serta Umno dalam mana-mana pilihan raya menyifatkan ia kerjasama antara parti kafir dan Islam.
Secara menyindir Mahathir menyifatkan PAS sebagai parti Islam dan Umno sebagai parti kafir dan menegaskan, keutamaan kedua-dua parti tersebut bukanlah kerana Islam sebaliknya hendak memenangi pilihan raya semata-mata.
“Tidak mengapa, PAS parti Islam dan Umno parti kafir, biar mereka bersatu lawan Pakatan Harapan (PH). Kita sanggup hadapi pakatan Islam dan kafir ini,” kata Mahathir dilaporkan media.
Untuk rekod sebelum ini Mahathir menjelaskan label kafir pada parti Umno itu diberikan oleh PAS sendiri beberapa dekad lalu.
Dalam pada itu Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat berkata, memperjuangan penyatuan Melayu dan Islam bukan sesuatu yang rasis.
"Saya bukan rasis, dan tak pernah rasis," tambah beliau.
Malah katanya, sejak lebih 60 tahun rakyat negara ini hidup dalam keadaan aman damai meskipun berbilang kaum dan agama.
Namun kata Mohamadsejak pentadbiran baru tidak sampai 10 bulan orang Melayu dan umat Islam mula gelisah, dan situasi itu tidak pernah dirasai sebelum ini.