Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Berhati-hati menuduh, ada nilai zuhud pada Hadi, kata mufti
Diterbitkan:  Feb 28, 2019 1:37 PM
Dikemaskini: 5:41 AM

Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengingatkan semua pihak agar berhati-hati dalam menuduh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dalam soal integriti iaitu didakwa mengambil wang dari pihak lain.

"Ramai orang mengaitkan Presiden PAS dengan soal integriti mengambil wang daripada pihak lain. Saya secara peribadi tidak tahu menahu hal itu, apa sahaja mungkin berlaku dalam dunia ini.

"Cumanya, sekali pun ada sisi politik yang saya mungkin ada sedikit pandangan yang berbeza (dengan Abdul Hadi) namun dalam pengalaman saya pernah ke rumah beliau suatu masa dahulu, beliau hidup dalam keadaan yang sangat sederhana. Saya nampak ada padanya nilai zuhud dalam kehidupan.

"Saya rasa elok semua pihak berhati-hati dalam menuduh hal yang seperti itu. Kita menghukum yang zahir, Allah mengetahui hakikatnya," katanya dalam status Facebooknya, hari ini.

 Walaupun tidak menyebutnya, Dr Mohd Asri dipercayai merujuk kepada dakwaan wang RM90 juta yang dimasukkan ke dalam akaun PAS.

Abdul Hadi menyaman Clare Rewcastle-Brown di London berhubung artikel Sarawak Report pada 2016 yang mendakwa perdana menteri ketika itu, Najib Razak menyalurkan sebanyak RM90 juta kepada pemimpin PAS dalam usaha mendapatkan sokongan menjelang pilihan raya umum ke-14.

Pada 13 Feb lalu presiden PAS berkata beliau dan Sarawak Report bersetuju menyelesaikan saman itu dan memastikan ia tetap sulit.

Walau bagaimanapun sejak siasatan SPRM bermula pada 6 Februari lalu, suruhanjaya itu telah mengambil keterangan beberapa pemimpin PAS, termasuk anggota jawatankuasa pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan bekas timbalan presiden Nasharudin Mat Isa.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS