Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri cadang ceramah lesen memandu diterap di sekolah saja

Menteri Pengangkutan Anthony Loke mencadangkan supaya ceramah enam jam yang dihadiri sebelum mengambil lesen memandu diterapkan melalui kurikulum sekolah pada tingkatan 4.

Loke berkata, jika ia boleh dilaksanakan, maka pelajar tingkatan 4 yang mengikuti program keselamatan jalan raya di sekolah itu tidak perlu menghadiri ceramah enam jam tersebut.

"Saya fikir macam mana kita boleh menginovasikan polisi. Kalau ceramah ini boleh diterapkan dalam kurrikulum sekolah, ini memberikan satu yang menarik kepada pelajar-pelajar kita.

"Supaya dia tak letih duduk enam jam belajar dan memang enam jam tu nak ingat, faham semua, memang tak praktikal dan memang (menghadiri ceramah) enam jam itu sesuatu yang diwajibkan," katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran modul pendidikan keselamatan jalan raya (PKJR) bagi sekolah rendah peringkat kebangsaan.

Modul PKJR setakat ini diajar secara penyerapan dalam subjek Bahasa Melayu di semua sekolah rendah mulai tahun 2007 lagi.

Terdahulu dalam ucapannya, Loke berkata perkara utama adalah kursus itu benar-benar efektif dan pelajar memahami apa yang dipelajari, bukan tempoh enam jam ceramah.

"Jika pelajar telah mempelajari sukatan ini, mungkin Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) boleh kecualikan mereka daripada menghadiri ceramah semasa mengambil lesen memandu.

"sebab kita tahu... Saya pernah duduk enam jam (dengar) ceramah, (Menteri Pendidikan) Maszlee (Malik) pun. Semua orang kena. Pergi ceramah enam jam, tiga jam (daripadanya) tidur. Lebih baik kita jujur mengenai perkara ini," katanya lagi.

Maszlee yang turut hadir di majlis tersebut menyambut baik cadangan itu.

"Kita ada jawatankuasa dasar yang menilai kurikulum dan kita alu-alukan sebarang idea inovatif dan kreatif, antaranya seperti idea Anthony Loke tadi," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS