Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PAS akan kekal menyokong kepimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tanpa mengharapkan sebarang balasan sekiranya peranan mereka untuk kepentingan Melayu dan Islam diperlukan oleh pemimpin berusia 93 tahun itu.

Menurut anggota jawatankuasa pusat parti itu Dr Khairuddin Aman Razali, sokongan itu juga dizahirkan bagi menjaga kepentingan golongan itu yang dikatakan berhadapan dengan tekanan dan kehendak DAP.

"PAS bersedia menyokong Tun dalam isu Islam dan Melayu kerana Allah, tidak mengharapkan balasan.

"Tidak mengapa Tun tidak perlukan sokongan PAS, tapi PAS tetap menjalankan tanggungjawab sekiranya Tun memerlukan sokongan melibatkan kepentingan Islam dan Melayu, PAS akan tetap menyokong Tun," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Mahathir yang menegaskan tidak memerlukan sokongan daripada parti pembangkang khususnya PAS.

Menurut Khairuddin sokongan kepada Mahathir itu bukan atas dasar individu semata-mata tetapi berdasarkan keperluan untuk mendukung kepentingan Islam dan Melayu dalam berhadapan tekanan daripada DAP.

Malah katanya sokongan itu juga dizahirkan kepada Mahathir disebabkan sikap kemaruk presiden PKR, Anwar Ibrahim untuk mengejar jawatan perdana menteri.

"Sokongan bukan atas dasar individu bernama Tun semata-mata tapi atas dasar keperluan mendukung PM untuk kepentingan Islam dan Melayu berhadapan dengan tekanan dan kehendak DAP.

"Khususnya yang melibatkan kepentingan Islam yang terancam dan kemaruk Anwar untuk menjadi perdana menteri - yang boleh sahaja menggadai prinsip demi sebuah jawatan," kata anggota parlimen Kuala Nerus itu.

Pada 25 Februari lalu, Mahathir berkata beliau tidak memerlukan sokongan daripada anggota parlimen PAS.

Sebaliknya Mahathir berkata beliau kini memperoleh sokongan daripada anggota parlimen PH yang mewakili separuh kerusi dalam Dewan Rakyat.

Mahathir juga dilapor berkata tidak faham dengan sikap PAS yang berpendirian tidak tetap dalam menyuarakan sokongan terhadapnya untuk kekal sebagai perdana menteri. 

Anwar pula berkata perbuatan cuba melaga-lagakan beliau dengan Pengerusi Bersatu itu merupakan agenda PAS dan Umno.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS