Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PH tak ada 'lampu Aladin' nak pulih ekonomi negara - Amanah
Diterbitkan:  Feb 27, 2019 8:59 AM
Dikemaskini: 1:01 AM

PRK SEMENYIH | Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak mempunyai "lampu aladin" untuk menyelesaikan masalah ekonomi negara dalam tempoh singkat sebaik menguasai Putrajaya 9 Mei lalu.

Setiausaha Agung Amanah, Mohd Anuar Mohd Tahir meminta orang ramai supaya memberi kerajaan PH masa untuk menyelesaikan isu berbangkit khususnya berkait dengan ekonomi.

"Bagilah sedikit masa, ekonomi negara susah untuk dipulihkan, kita bukan ada lampu Aladin yang boleh gosok-gosok selesai masalah.

"Kami akui kami tidak banyak pengalaman... tetapi kami bersih kami perangai rasuah," katanya ketika berceramah di Pangsapuri Bandar Rinching, Semenyih, malam tadi.

Hadir sama Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dan calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Muhammad Aiman Zainali.

Pada majlis itu turut dilancarkan agenda Aiman4Semenyih yang menggariskan lima tekad Aiman sebagai bahan kempen.

Anuar yang juga timbalan menteri kerja raya berkata BN sebagai "gila talak" walaupun sudah tidak lagi menjadi kerajaan.

Beliau berkata BN memainkan sentimen politik perkauman dan agama sebagai alat kempen bagi memenangi PRK kali ini.

"Dia (BN) hendak menang dengan cara apa sekali pun dengan cara amat kotor dan keji. Mereka main isu perkauman," katanya.

Orang Selangor cerdik

Sementara itu Mohd Anuar menyifatkan orang Selangor sebagai rakyat paling cerdik di negara ini.

Malah katanya, orang Selangor khususnya di Semenyih lebih cerdik berbanding orang kampungnya.

"Orang paling cerdik di Malaysia adalah di Selangor dan orang yang paling cedik lagi mestilah di Semenyih.

"Orang di sini tak seperti orang kampung saya," tambahnya lagi merujuk rekod  Selangor yang ditadbir PH sejak 2008.

Anuar merupakan anak kelahiran Beseri di Perlis dan kini anggota parlimen Temerloh.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS