PAS tidak pernah membuat sebarang bayaran dalam penyelesaian kes mahkamah membabitkan presidennya Abdul Hadi Awang dan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown, kata Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan.
Takiyuddin berkata demikian bagi menjawab desakan presiden PKR, Anwar Ibrahim agar PAS memberi penjelasan sama ada penyelesaian kes mahkamah itu turut melibatkan bayaran lebih RM1 juta.
Menurutnya, Perintah Persetujuan (Consent Order) yang direkodkan menyatakan pihak yang menuntut tidak meneruskan tuntutannya, manakala pihak defendan tidak meneruskan tuntutan balas serta tiada perintah mengenai kos.
"Berdasarkan kepada Perintah Persetujuan di atas, maka selain daripada kedua-dua pihak bersetuju tidak meneruskan tuntutan dan tuntutan balas masing-masing, mahkamah tidak membuat sebarang perintah mengenai kos kepada mana-mana pihak.
"Dengan kata lain pihak yang menuntut, YB Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, (dalam pliding Mahkamah disebut sebagai ‘Mr. Awang’) tidak membayar apa-apa bayaran ataupun kos kepada pihak defendan untuk penyelesaian kes ini di luar mahkamah.
"Perlu dijelaskan juga bahawa PAS lagilah tidak membayar apa-apa bayaran di mana-mana peringkat kes ini kerana PAS bukanlah satu pihak dalam tindakan ini (PAS is not even a party to the suit)," katanya.
Terdahulu, Anwar hari ini berkata wujud kenyataan tidak sekata di antara Abdul Hadi dan Clare berhubung penyelesaian luar mahkamah saman tersebut.
"Saya nak tanya dan dapat kepastian, apakah ada bayaran yang diberi pada Clare dari PAS?
"Lebih daripada RM1juta, boleh tak disahkan?" katanya pada sidang media di George Town, Pulau Pinang.
'Terdesak alih perhatian rakyat'
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata gesaan Anwar itu merupakan langkah terdesak untuk alih perhatian rakyat daripada krisis keyakinan terhadap kepimpinan parti itu.
"PAS menganggap kenyataan Presiden PKR tersebut adalah langkah terdesak beliau bagi mengalihkan pandangan rakyat dari isu ‘krisis keyakinan’ parti-parti dalam Pakatan Harapan terhadap Pengerusi mereka, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga perdana menteri Malaysia," katanya.
Abdul Hadi sebelum ini menyaman Clare ekoran rencana disiarkan portal pembocor maklumat itu pada 2016 yang mendakwa PAS menerima dana 1MDB sebanyak RM90 juta.
Bagaimanapun kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikan kes berkenaan di luar mahkamah dengan syarat-syarat yang dipersetujui untuk dirahsiakan.