Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Waktu bekerja fleksi bagi penjawat awam bermula 1 Mac
Diterbitkan:  Feb 26, 2019 8:55 PM
Dikemaskini: 12:55 PM

Bermula 1 Mac penjawat awam yang bekerja di kementerian dan jabatan persekutuan akan dibenarkan bekerja mengikut waktu fleksibel, umum Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini.

Dalam satu pekeliling yang dimuat naik di laman Facebook rasminya, jabatan itu berkata mereka boleh memulakan tugas antara jam 7:30 pagi hingga 8:30 pagi dan menamatkan waktu bekerja antara pukul 4:30 petang hingga 5:30 petang - selagi bekerja selama sembilan jam.

Kaedah itu terpakai bagi penjawat awam yang bekerja di Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur dan Putrajaya), Perlis, Perak, Selangor, Sabah dan Sarawak.

Bagi penjawat awam yang bekerja di Johor dan Terengganu, yang mempunyai masa bekerja berbeza - mereka boleh memilih untuk memulakan tugas di antara jam 7:30 pagi dan 8:30 pagi.

Dari hari Ahad hingga Rabu, mereka boleh menamatkan kerja antara 4:30 dan 5:30 petang dan balik pada jam 3 hingga 4 petang pada hari Khamis asalkan bekerja selama tujuh jam setengah.

Oleh kerana ini merupakan "projek rintis", ia hanya akan terpakai di agensi-agensi persekutuan di negeri-negeri yang disebut di atas.

Pekeliling itu turut menyatakan tarikh tamat untuk projek rintis itu akan diumumkan kelak.

Menurut pekeliling itu, ketua jabatan bertanggungjawab memantau waktu bekerja pegawai dengan memastikan syarat- syarat dipatuhi oleh semua pegawai di kementerian atau jabatan terlibat.

Kementerian dan jabatan juga dimohon untuk mengisi maklumat yang diperlukan.

Lima negeri yang tidak termasuk dalam amalan waktu bekerja itu ialah Pahang, Kelantan, Pulau Pinang, Melaka dan Negeri Sembilan.

Selain itu ia tidak termasuk mereka yang bekerja di badan berkanun, majlis tempatan, sekolah kerajaan, kemudahan penjagaan kesihatan awam dan agensi kerajaan negeri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS