Bekas perdana menteri Najib Abdul Razak meminta maaf susulan kenyataan beliau bahawa hanya golongan LGBT dan kaki botol akan menikmati 'tol percuma' yang dicadangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
"Bukan niat saya untuk mempersendakan sebarang kumpulan masyarakat yang bekerja pada waktu malam atau yang menggunakan lebuhraya tol selepas jam 11 malam.
"Jika anda tonton klip video ini dari sesi sembang santai saya malam semalam, saya hanya mengulangi apa yang diteriak oleh penonton yang berada di ceramah itu sebagai jawapan kepada soalan saya," katanya ahli parlimen Pekan itu di Facebook, hari ini.
Najib yang kini giat berkempen bagi BN di pilihan raya kecil (PRK) Semenyih turut mengakui bahawa telah terikut-ikut dengan jawapan dan respon diberikan penonton semalam.
"Saya dengan rendah hati mohon maaf jika ada yang berasa tersinggung.
“Apapun, perkara pokok yang saya utarakan mengenai isu ini di ceramah berkenaan adalah jelas," tambahnya lagi.
Terdahulu, Najib yang berceramah di Kampung Sungai Lalang semalam mengkritik cadangan kerajaan memperkenalkan kadar tol caj kesesakan.
Antara cadangan baru ialah kadar tol percuma antara jam 11 malam dan 5 pagi.
Baca Hanipa: Najib 'bertuah' dapat ketawakan orang kerja malam
Bagaimanapun, Najib mengulang kritikannya bahawa rakyat Malaysia umumnya tidak akan dapat menikmati tol percuma itu.
"Dari 10 malam sampai 5 pagi, tidur tak tidur? Yang tak tidur siapa? Hantu tak tidur, lepas itu kaki botol tak tidur, kaki LGBT, yang cari pelanggan mungkin tak tidur, yang lain semua tidur, pukul 11 malam semua tidur," katanya.
Kenyataan Najib dikecam oleh beberapa pihak termasuk golongan pekerja syif malam yang berkata kenyataan Najib sebagai tidak menghormatinya.
"Apa yang saya utarakan adalah mengenai janji bertulis dalam hitam-putih serta diulang-ulang PH untuk menghapuskan tol patutlah bermaksud tol akan dihapuskan dan bukan sekadar pada masa tengah malam sahaja.
"PH dan media seharusnya tidak menggunakan sepatah dua kata saya dari sembang santai saya semalam sebagai cubaan untuk memesongkan fakta sebenar iaitu kegagalan PH untuk menunaikan janji manifesto dan hakikat bahawa mereka telah cuba sekali lagi untuk menipu rakyat dengan alasan baru," tambah beliau lagi.