Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images

PRK SEMENYIH | Ketika ketiga-tiga calon dari BN, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan bebas berada di Dewan Serbaguna Batalion 4, Pasukan Gerakan Am (PGA), Semenyih bagi proses pengundian awal, ketiadaan kelibat calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Aiman Zanali menimbulkan tanda tanya.

Beliau sepatutnya tiba awal di pusat pengundian berkenaan, namun hadir lewat kerana berdepan masalah teknikal apabila tertinggal pas calon yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Kecuaian itu mengakibatkan dia terpaksa hadir ke pusat pengundiaan berkenaan agak lewat jika dibandingkan calon lain.

Menjelaskan perkara itu, Muhammad Aiman berkata dia sudah hadir ke pusat pengundian awal itu kira-kira jam 8.50 pagi lagi, namun tidak dibenarkan masuk kerana ketiadaan pas calon.

"Pas calon saya ini berada bersama dengan dengan dokumen lain, dalam kereta lain.

"Kereta itu sudah bergerak ke Kuala Lumpur, jadi saya terpaksa menunggu. Pas berkenaan dikembalikan kepada saya kira-kira jam 11.30 pagi," katanya ketika ditemui pagi tadi.

Tak dibenar masuk tanpa pas

Petugas media menunggu Muhammad Aiman sejak dari awal pagi lagi, namun kelibat calon PH itu tidak kunjung tiba di pusat pengundian awal itu.

Bagaimanapun ketiga-tiga calon lain membabitkan Zakaria Hanafi dari BN, calon PSM, Nik Aziz Afiq Abdul dan calon Bebas, Kuan Chee Heng muncul sejak awal pagi lagi.

Sementara itu Muhammad Aiman berkata pihak berkuasa bersikap telus apabila tidak membenarkan beliau masuk tanpa pas calon.

"Malaysia baru lebih telus, saya sebagai calon PH yang mewakili kerajaan juga tidak dibenarkan masuk. Itulah yang kita tunjuk dan tonjolkan.

"(Pas calon) orang lain hantar dan saya telah menunggu lama sejak jam 8.50 pagi lagi," katanya.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS