Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
‘Apabila masanya telah tiba untuk pergi, anda pergi’

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun sempat berseloroh apabila ditanya tentang rancangan masa depannya selepas bersara wajib pada Mei depan.

Mohamad Fuzi, yang genap 60 tahun pada 4 Mei, berkata beliau mempunyai beberapa pilihan.

“Mungkin saya bujang ini, saya kahwin kejap lagi ini, jadi banyak benda yang boleh saya buat.

“Jangan risau, apa kita nak buat semua itu. Mungkin jual durian tepi jalan ke, tanam durian, kemudian kamu (wartawan) ambil gambar dan beli durianlah kalau saya jual durian,” katanya secara berseloroh.

Beliau sebelum itu menyempurnakan Majlis Peringatan Ulang Tahun Pasukan Simpanan Persekutuan ke-63 dan penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara di Kuala Lumpur hari ini.

Mohamad Fuzi juga meminta supaya tidak ada pihak yang membuat spekulasi tentang persaraannya kerana apa yang dilaporkan itu tidak benar.

"Kita kena sedar diri... apabila masanya telah tiba untuk anda pergi , anda pergi ...tak ada masalah dan jangan buat spekulasi bukan-bukan.

"Kita dah selesai tanggungjawab kita dan dapat laksana amanah dengan baik dan telah cuba sebaik mungkin," katanya.

Menurut Mohamad Fuzi selain beliau, yang akan turut bersara ialah Timbalan Ketua Polis Negara Noor Rashid Ibrahim, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Wan Ahmad Najmuddin Mohd dan Pengarah Jabatan Siasatan Narkotik Mohmad Salleh.

Mohamad Fuzi dilantik sebagai Ketua Polis Negara pada 4 Sept tahun 2017 menggantikan Khalid Abu Bakar.

Beliau menyertai Polis Diraja Malaysia sebagai kadet ASP pada 8 Jan 1984.

Spekulasi juga bertiup kencang sejak Sabtu lalu menerusi WhatsApp yang kononnya bahawa Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Hamid Bador bakal menjadi ketua polis negara yang baru.

Selain itu, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Acryl Sani Abdullah Sani pula akan dilantik sebagai timbalan IGP yang baru.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS