Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

TINJAUAN | Jika memandu di sepanjang Jalan Semenyih, tentu tidak sukar untuk menyedari di kiri dan kanan jalan sudah ada banyak bangunan tinggi, premis perniagaan, dan pasar raya besar.

Ia tidak banyak berbeza berbanding daerah lain di Selangor. Pembangunan di Semenyih semakin pesat, kawasan perumahannya padat, dan jalannya juga sesak.

Bak kata sering diulang-ulang bekas menteri besar Selangor, Azmin Ali, Semenyih sekarang tidak sama dengan Semenyih yang dulu-dulu.

Tetapi, jika terus memandu ke selatan, perubahan akan mula dirasa. Kerancakan pembangunan mula susut perlahan-lahan dan akhirnya akan sampai ke kawasan yang pembangunannya minimum.

Apabila tiba di satu simpang empat - lebih kurang 1.5km sebelum tiba di Sungai Sompo Beranang - beloklah ke kiri atau ke kanan.

Di sana ada kawasan kampung yang jauh berbeza daripada suasana pekan di bahagian tengah daerah Semenyih.

Jalannya kecil, hampir tiada bangunan bertingkat kecuali rumah penduduk kampung yang berselang-seli dengan pohon hijau yang menjadi latar utama.

Mahu kekal terpelihara

Ketika penulis menunggang motosikal dan merayau-rayau menikmati pemandangan di sekitar kawasan kampung yang damai itu, beberapa kali gerombolan kambing biri-biri melintas sambil melenggang selamba.

Tertanya-tanya juga, berapa lama masa yang tinggal sebelum kampung tersebut turut ditelan pembangunan, seperti yang berlaku di kawasan-kawasan bandar atau pekan yang hanya beberapa kilometer sahaja jaraknya dari situ.

Tetapi, buat penduduk di situ, tiada yang perlu dirisaukan. Mereka yakin kawasan itu akan terus terpelihara sebagai kampung memandangkan statusnya sebagai kampung tradisi.

Mansor Saribon

Bagi Mansor Saribon, 61, dia lebih selesa jika suasana kampung itu terus dipelihara biarpun Semenyih sedang mengalami pembangunan pesat.

“Biar kekal sebagai kampunglah. Biar bandar sebelah sana (saja), di sini, tetap kampung.

“Di sini majoriti (penduduknya) dalam sudah bersara. Anak-anak banyak bekerja di luar, masih makan gaji, berulang.

"Ada yang kerja di Kuala Lumpur, Seremban, Kajang, tetapi duduk di sini,” katanya kepada Malaysiakini.

Mansor merupakan salah seorang penduduk yang tinggal di Kampung Sesapan Kelubi, salah sebuah kampung tradisi yang terdapat di Semenyih.

Kampung tradisi merujuk kepada salah satu daripada empat jenis perkampungan tradisional selain kampung nelayan, kampung terapung dan kampung Orang Asli.

Ramai orang tua, pesara

Kampung tradisi merupakan kawasan petempatan warisan turun-temurun orang Melayu yang mempunyai latar alam sekitar dan seni bina berkonsepkan Melayu.

Biarpun ada antara kampung tersebut yang berusia lebih 100 tahun, ia tidak mempunyai masalah kekurangan pemuda seperti yang dihadapi sesetengah kawasan petempatan lain.

Hal itu, menurut Mohd Kamal Bahrin Ahmad, 65, dari Kampung Kuala Pajam, disebabkan kedudukan kampung itu yang strategik dan memudahkan golongan muda bekerja di mana-mana.

Mohd Kamal Bahrin

“Anak muda banyak kerja kilang. Ada di kawasan industri di Nilai, Beranang, dan tempat lain juga. Tapi mereka duduk di sinilah, berulang. Orang tua pula banyak pesara.

“Laluan ini pula (jaringan jalan dalam kampung), boleh ke Batang Benar, Rinching Hilir, pekan Semenyih, Bandar Baru Bangi dan Dengkil. Jalannya berangkai.

“Tak ada masalah kekurangan orang muda, maintain sahaja,” katanya.

Kampung Sesapan Kelubi terletak hanya kira-kira 3km dari Kawasan Perindustrian Beranang, dan 4km dari kawasan perumahan moden di Bandar Tasik Kesuma.

Tinjauan Malaysiakini mendapati laluan menuju ke Batang Benar sentiasa terdapat rumah penduduk di sepanjang jalan biarpun lokasinya agak ke dalam berbanding jalan besar (Jalan Semenyih).

Di mukim Beranang, daerah Hulu Langat, terdapat 12 kampung tradisi lain seperti Kampung Sesapan Kelubi dan Kampung Kuala Pajam.

Antaranya Kampung Bukit Kepong, Kampung Jalan Enam Kaki, Kampung Sungai Jai, Kampung Sungai Kembong Hulu, Kampung Sungai Kembong Hilir, Kampung Sesapan Batu Minangkabau, Kampung Indah PKNS, Kampung Rinching Hilir, Kampung Rinching Tengah, Kampung Sesapan Batu Rembau dan Kampung Baru Tarun/Broga.

Harga tanah meningkat

Bagaimanapun, akibat kedudukannya yang tidak terlalu jauh dari kawasan membangun, harga tanah di kawasan kampung itu turut mengalami peningkatan ketara berbanding beberapa tahun lalu.

Menurut Marsom Omar, 55, dari Kampung Kuala Pajam, harga tanah di kawasan kampung itu kini mencecah RM10 sekaki, manakala di Beranang sudah mencecah RM20 ke RM30 sekaki.

Hal itu dipersutujui oleh Mohd Kamal yang memaklumkan, biarpun tidak mengalami peningkatan setanding kawasan pekan dan bandar, tetapi harga tanah tetap meningkat agak ketara.

“Sini setakat ini naik tidaklah sebanyak (kawasan taman perumahan), tapi naik jugalah dalam 30 peratus. Itu harga yang dinilai oleh pentaksir,” katanya.

Di Kampung Sesapan Kelubi pula, Mansor menganggarkan harga tanah semasa mencecah RM300,000 seekar mengikut harga pasaran.

Selain harga tanah yang meningkat, Mansor turut menjelaskan kos sara hidup di kawasan tersebut juga bertambah dengan ketara.

“Kos sara hidup sini tinggi, kerana dikelilingi bandar. Mereka makan gaji dan berduit.

"Macam harga ikan, peniaga terpaksa naikkan tapi kami orang kampung kena beli jugalah.

“Kalau tak mampu, pandang sajalah,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS