Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib: K'jaan PH pentadbiran 'cap Ayam' cacamarba

PRK SEMENYIH | Terdapat percanggahan antara kenyataan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali dan Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengenai rancangan kerajaan mengambil alih empat lebuh raya yang dimiliki syarikat Gamuda Bhd selaku pemegang saham majoriti.

Percanggahan ini diutarakan bekas perdana menteri Najib Razak ketika berceramah pada majlis di Kampung Sungai Lalang malam tadi.

"Macam mana kenyataan daripada JPM, menteri dalam Jabatan Perdana Menteri kata lain pula.

"Pelik tak? Ini pelik bin ajaib ni, pelik-pelik, betul-betul pelik. Macam seolah menteri hal ehwal ekonomi tak (ada) dalam sistem JPM, tak cakap antara satu sama lain.

"Saya tak fikir kenyataan itu PM tak lulus, saya tak fikir kalau statement macam itu, PM tak panggil menteri kewangan, menteri hal ehwal ekonomi, menteri-menteri lain bincang dulu," katanya.

Najib melabel pentadbiran PH sebagai 'Cap Ayam" (teruk) atau cacamarba.

Putrajaya belum putuskan

"Saya tahu ini sistem kita buat pentadbiran kerajaan, kita tak buat keputusan seorang-seorang. Saya tak buat decision tanpa rujukan kepada menteri-menteri dan pegawai-pegawai berkenaan.

'Ini apa punya pentadbiran ni, pentadbiran 'cap Ayam kah' cacamarbakah apa? Cap ayam," katanya lagi.

Bagaimanapun, Najib mendakwa Putrajaya sekarang masih belum membuat keputusan mengenai mengambil alih tol itu.

Kerajaan pada 24 Februari lalu mengumumkan telah memulakan proses rundingan dengan Gamuda Berhad untuk mengambil alih konsesi empat lebuh raya yang mana syarikat itu memiliki pegangan majoriti.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, dengan kejayaan pengambilalihan tersebut, kerajaan bercadang menghapuskan mekanisma kutipan tol sedia ada.

Sebagai ganti, caj kesesakan (congestion charge) akan diperkenalkan di mana pengguna lebuh raya akan hanya dikenakan caj yang sama dengan kadar tol sedia ada pada waktu puncak selama enam jam sehari.

"Kadar tol dihapuskan sama sekali pada waktu off-peak antara jam 11 malam dan 5 pagi, di mana penggunaan lebuh raya adalah percuma.

"Pengguna juga akan menikmati diskaun 30 peratus berbanding kadar tol sedia ada bagi penggunaan waktu biasa," kata kenyataan tersebut.

Lebuhraya terbabit adalah Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong Smart.

Percuma tol malam penipuan

Menurut Pejabat Perdana Menteri, perkara itu selaras dengan janji PH dalam manifesto pilihan raya lepas untuk mengambil alih konsesi lebuh raya bertol dan menghapuskan bayaran tol secara berperingkat.

Kenyataan itu menambah, hasil kutipan caj kesesakan tersebut akan diguna pakai untuk menampung kos operasi serta penyelenggaraan lebuh raya serta bayaran pinjaman.

Mengulas lanjut, Azmin berkata kos pengambilalihan itu masih dalam peringkat rundingan dan kementerian berkaitan akan mengeluarkan kenyataan selepas semua perkara selesai.

Pada majlis ceramah malam tadi itu juga, Najib mengulang kritikannya bahawa rakyat Malaysia umumnya tidak akan dapat menikmati tol percuma itu.

"Dari 10 malam sampai 5 pagi, tidur tak tidur? Yang tak tidur siapa? Hantu tak tidur, lepas itu kaki botol tak tidur, kaki LGBT, yang cari pelanggan mungkin tak tidur, yang lain semua tidur, pukul 11 malam semua tidur," katanya.

Katanya pengumuman penghapusan tol dan langkah mengenakan caj kesesakan itu merupakan satu lagi penipuan pentadbiran PH, maka pengundi perlu memilih calon BN pada PRK 2 Mac ini.

Kampung Sungai Lalang berada di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Hulu Semenyih yang mana BN menang dengan majoriti 1,060 undi pada PRu14. PAS mendapat 369, manakala PH memperolehi 680 undi.

[Baca berita penuh]

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS