Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nazri nafi mahu tutup sekolah aliran Cina, Tamil

Setiausaha Agung BN, Nazri Aziz, berkata kenyataannya mengenai sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil baru-baru ini disalah petik media.

Kata Nazri dalam kenyataannya beliau menekankan bahawa semua pihak perlu menghormati hak orang Melayu dan bumiputera.

Menurut bekas menteri itu, jika ada pihak yang membangkitkan isu berkenaan atau mempertikaikannya orang Melayu dan bumiputera akan menyoal isu berkaitan bukan Melayu.

Keadaan itu, katanya, boleh mendorong rasa tidak puas hati dan akhirnya mungkin mengundang desakan supaya sekolah-sekolah vernakular ditutup.

"Tengoklah ucapan saya tu. Saya cakap jangan mempertikai kita (orang Melayu) punya hak. Kita kena hormat.

"Tapi yang diambil (media) cuma ayat nak tutup sekolah vernakular," katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam semasa berkempan membantu calon BN di Semenyih Nazri dilaporkan berkata orang bukan Melayu perlu memahami mereka juga mempunyai hak istimewa di negara ini.

Kalau nak tutup dulu dah boleh

"Hak istimewa mereka (orang Cina dan India) apa? Sekolah aliran Cina, Tamil," katanya.

Menurut Nazri kemudahan tersebut tidak ada di negara lain, termasuk kalangan yang memberi keadilan kepada semua kaum.

"Saya nak beritahu mereka, kalau mereka tuntut supaya hak istimewa orang Melayu dibatalkan, saya pun nak minta sekolah aliran Cina dan Tamil dibatalkan... baru adil," katanya.

Laporan itu mengundang kecaman beberapa pihak dalam kalangan parti bukan Melayu, seperti MCA dan Gerakan.

Menjelaskan kenyataan itu hari ini Nazri berkata tuduhan beliau mahu menutup sekolah aliran Cina dan Tamil adalah tidak berasas.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya bahawa saya mahu menutup sekolah aliran Cina dan aliran Tamil.

"Kalau saya nak berbuat demikian, waktu saya jadi kerajaan dulu saya boleh ikhtiarkan," katanya lagi.

Tambahnya mungkin ada media yang memihak kepada parti tertentu sehingga memetik kenyataannya di luar maksud sebenar.

Namun kata Nazri beliau tidak akan menyaman mana-mana pihak berhubung isu berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS