Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Lagakan Anwar dengan Mahathir agenda Umno, PAS'
Diterbitkan:  Feb 25, 2019 5:24 PM
Dikemaskini: 9:24 AM

Perbuatan cuba melaga-lagakan Presiden PKR Anwar Ibrahim dengan Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad adalah agenda pihak pembangkang.

Pengerusi PKR Kelantan Muhammad Supardi Md Nor berkata cubaan musuh Pakatan Harapan (PH) itu bertujuan untuk memecah belahkan hubungan antara kedua-dua pemimpin terbabit.

"Ia adalah agenda pembangkang, rakyat perlu tahu hubungan antara Dr Mahathir dengan Anwar cukup baik dan menjadi kerisauan kepada pihak yang tidak senang hati dengan hubungan itu.

"Kami (negeri) diberikan keyakinan oleh Anwar semasa mesyuarat Majlis Pemimpinan Pusat (MPP) semalam bahawa beliau (Anwar) dan Dr Mahathir tidak mempunyai masalah," katanya kepada pemberita.

Beliau sebelum itu merasmikan Program Perhimpunan Skuad Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Tanah Merah Bersama Pemimpin Masyarakat di Pejabat AADK Tanah Merah, hari ini.

Sebelum ini media melaporkan ada pihak mendakwa Pakatan Harapan merancang untuk mengetepikan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri dan melaga-lagakan hubungan antara dua pemimpin itu.

"Kita perlu terus memberikan sokongan kepada Perdana Menteri sedia ada bagi menguruskan negara dan rakyat sehingga Anwar diberikan peluang untuk melaksanakan tugas-tugas itu kemudian.

"Ia adalah perjanjian dalam PH tiada siapa yang boleh menafikan perjanjian ini kerana kami PH tiada masalah, namun yang mempunyai masalah ialah PAS dan Umno yang berkemungkinan melakukan adu domba dalam kes ini," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS