INKUES | Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim menganggukkan kepalanya ketika seorang pembantu perubatan bertanya jika beliau dipukul dalam rusuhan di kuil Seafield pada 27 November 2018, kata Ketua dan Pengarah Operasi, Bahagian Penjagaan Kesihatan Swasta, Institut Jantung Negara (IJN), Dr Mohamed Ezani Md Taib.
Menurutnya, hal ini diberitahu kepada beliau oleh pembantu perubatan berkenaan pada 25 Disember, lapan hari selepas Adib meninggal dunia.
Dr Mohamed Ezani memberi keterangan dalam inkues untuk mengenal pasti punca kematian anggota bomba itu.
Adib yang cedera parah mendapat rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di IJN.
"Saya diberitahu oleh salah seorang kakitangan saya bahawa Adib telah dipukul," kata Mohamed Ezani yang menjadi saksi ke-14 dalam inkues ini.
Pembantu perubatan itu katanya, memberitahu Adib menganggukkan kepala ketika ditanya jika beliau ingat kejadian pada malam rusuhan itu dan sekiranya Adib telah dipukul.
"Dia (pembantu perubatan) memberitahu saya beberapa hari selepas pesakit berkenaan meninggal dunia.
"Saya katakan padanya untuk mendapatkan nasihat peguam untuk menentukan tindakan selanjutnya," katanya menjawab soalan pegawai inkues Timbalan Pendakwaraya Fatin Hadni Khairuddin.
Saksi dijangka tampil
Pembantu perubatan yang dikenal pasti sebagai Ashraf dijangka akan tampil sebagai saksi inkues akan datang.
Mohamed Ezani memberitahu mahkamah beliau melihat Adib sebanyak dua kali ketika allahyarham masih lagi sedar dan memberi maklum balas tetapi tidak dapat bercakap.
Menurut Mohamed Ezani anggota bomba itu "menggelengkan kepalanya" sebagai isyarat beliau tidak ingat apa yang terjadi pada malam kecederaannya.
Doktor itu juga berkata Adib dirawat di IJN selama 21 hari dan pertemuan pertamanya dengan allahyarham berlaku pada hari kelima atau keenam Adib dimasukkan ke situ.
Pertemuan kedua, katanya ketika pegawai polis menyoal siasat Adib.
"Pesakit (Adib) memberi maklum balas (soalan) dengan menggelengkan kepalanya yang saya anggap sebagai bermaksud tidak," katanya.
Jelas pakar bedah itu lagi, Adib tidak dapat bercakap kerana saluran tiub dipasang pada mulutnya.