Tiada jaminan kerjasama di antara PAS dan Umno bagi memastikan pertembungan satu lawan satu dalam pilihan raya pada masa datang akan berjaya, kata penganalisis politik.
Menurut Prof Madya Azizuddin Sani, sebaliknya rancangan itu mungkin hanya akan merugikan Umno.
Katanya keadaan itu boleh berlaku kerana PAS dilihat hanya bercita-cita untuk menguasai negeri di Pantai Timur seperti yang berlaku sekarang.
"Umno sebagai parti nasional akan rugi kerana PAS hanya mahu menjadi parti Pantai Timur sahaja, dan cuma menarik sokongan rang Melayu semata-mata.
"Sedangkan pendekatan politik nasional perlukan kerjasama pelbagai kaum dan parti," katanya kepada Malaysiakini.
Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) itu juga berkata di sebalik hubungan baik yang digambarkan di antara pemimpin kedua-dua parti, ada pihak lain - termasuk penyokong Umno dan PAS - tetap tidak menyetujui kerjasama itu.
Semalam Ketua Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata PAS dan Umno akan membentuk satu jawatankuasa bagi memastikan tiada lagi pertembungan tiga penjuru melibatkan kedua-dua parti itu pada masa depan.
Ada agenda lebih besar
Pengumuman anak presiden PAS itu dilakukan ketika spekulasi berkenaan kerjasama PAS-Umno masih menjadi tanda tanya ekoran dakwaan Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa PAS berjanji tidak menyokong Umno pada PRK Semenyih.
Bagaimanapun, dakwaan itu dinafikan oleh PAS dan Umno.
Prof Madya Kartini Aboo Talib dari Universiti Kebangsaan Malaysia pula berpendapat gabungan itu memang boleh menguntungkan kedua-dua parti, namun akan merugikan Melayu secara keseluruhan.
Katanya ketika Umno dan PAS lebih tertumpu kepada memperjuangkan hal-hal kaum dan agama semata-mata, parti lain pula membawa agenda yang lebih besar seperti pendidikan, kepelbagaian dan sebagainya.
Namun pada masa sama kata Kartini, PH tetap berdepan dengan saingan hebat kerana ada gelombang rasa tidak puas hati terhadap kerajaan yang belum berjaya menunaikan janji pilihan raya mereka.
"Perkara utama yang perlu ditangani ialah perpaduan.
"Jika PH berjaya membawa usaha menyatukan, PH akan kembali memperoleh keyakinan rakyat," katanya.
Mainkan kegagalan PH
Kartini berkata dalam politik Malaysia, apa saja pendekatan yang boleh menarik pengundi akan digunakan parti untuk meraih kemenangan.
Hal itu katanya termasuk memainkan isu etnik dan agama kerana ia paling mudah untuk mencipta kontroversi dan mendorong pengundi.
Bagi Prof Jeniri Amir dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), kerjasama PAS dan Umno adalah langkah ke hadapan yang baik untuk kedua-dua parti memandangkan kebanyakan kerusi di negara ini terdiri daripada majoriti Melayu.
Katanya, buat masa ini kelangsungan kedua-dua parti itu banyak bergantung kepada sentimen Melayu-Islam, isu hak perlembagaan, kepentingan Melayu-Bumiputera dan raja-raja.
"Jadi, kalau isu-isu ini dimainkan oleh peringkat akar umbi dan dikaitkan juga dengan kegagalan PH untuk menangani dan memenuhi aspirasi mereka dari segi ini, maka ia akan menguntungkan Umno dan PAS.
"Harus diingat, kekalahan BN dan PAS di beberapa kerusi pada PRU lalu berpunca daripada pertembungan tiga penjuru dan ketiadaan kerjasama yang utuh daripada kedua-dua parti itu," katanya.
Jeniri berkata, untuk mengatasi sokongan rakyat berpihak kepada PAS dan Umno, PH tiada cara lain kecuali memperbaiki kelemahannya semasa mentadbir negara sejak 10 bulan lalu.
"Tangani isu-isu yang dibangkitkan oleh Umno dan PAS yang menjadi keprihatinan masyarakat Melayu. Yang paling penting ialah mereka penuhi janji-janji dalam manifesto.
"Jangan sampai PH dilihat sebagai sebuah parti yang tidak dapat digantung harap ataupun boneka kepada DAP," katanya.
Masa salahkan BN sudah berlalu
Pada masa sama, Jeniri menyarankan PH berhenti menggunakan alasan masalah yang dihadapi negara sekarang datang dari pemerintahan BN selama 61 tahun.
Katanya, 10 bulan itu merupakan tempoh yang cukup lama untuk PH berbulan madu.
"Yang rakyat mahu sekarang ialah PH dilihat betul-betul komited untuk selesaikan masalah ini - masalah yang tertangguh selama 61 tahun itu.
"Mereka (PH) harus dapat dilihat membawa kepimpinan yang betul-betul ampuh dan berjaya selesaikan untuk kepentingan negara.
"Kalau perlu, lakukan rombakan kabinet kalau menteri itu gagal selesaikan (masalah) kerana mereka tak ada masa untuk berbulan madu. Ia sudah berlalu. Sudah berlalu masa untuk menyalahkan BN," katanya.
Namun, Prof Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya pula berkata masih terlalu awal untuk menjangkakan formula yang digunakan PAS-Umno itu.
Katanya keputusan pada PRU lalu adalah dipengaruhi sentimen pengundi pada masa berkenaan dan mungkin berbeza berbanding hari ini.
"Formula ini akan berkesan berdasarkan isu kaum, agama yang ditonjolkan kedua-dua parti ini dan menggunakan kelemahan PH yang dipersepsikan sebagai kurang berjaya mengendalikan isu kepentingan Melayu, Islam dan bumiputera dan serta masyarakat luar bandar.
"Menunaikan janji PRU ialah cara paling efisyen untuk meraih kembali sokongan rakyat.
"Menambat hati pengundi Melayu dan Bumiputera pula perlu dilakukan dan pastikan PH lebih baik berbanding BN daripada segi menjaga kepentingan Melayu dan bumiputera serta masyarakat luar bandar," katanya.