Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PRK SEMENYIH | Semasa acara sembang santai di antara pemimpin PH bersama masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Lalang Baru tadi, acara sempat bertukar janggal seketika apabila ucapan tok batin kampung tersebut terhenti seketika.

Aleh Abdullah, 53, sedang memberikan kata-kata aluan apabila dia terhenti kerana tidak dapat mengenal beberapa pemimpin PH yang hadir.

“Assalamualaikum dan selamat petang. Yang saya dihormati… ,” katanya sebelum berhenti berucap sambil memandang ke arah pemimpin yang duduk semeja dengannya.

Kejanggalan itu segera dipintas pengerusi majlis yang bercakap melalui pembesar suara memintanya membaca sahaja teks yang telah disediakan.

“Saya dah bagi teks ni, bacalah,” kata pengerusi majlis.

“Minta maaf ya,” jawab tok batin sambil mengeluarkan satu lipatan kertas daripada poket bajunya.

Pemimpin PH yang menghadiri tersebut ialah Pengerusi Bersatu, Muhyiddin Yassin; anggota Jawatankuasa Tertinggi Amanah, Hanipa Maidin; selain bekas menteri besar Perak, Mohammad Nizar Jamaluddin serta calon PH, Muhammad Aiman Zainali.

Aleh kemudian meneruskan membaca kertas yang dipegangnya, biarpun beberapa kali mengalami kesukaran untuk membaca beberapa perkataan dalam teks tersebut.

Ketika ditemui pemberita selepas itu, Aleh pada mulanya memberitahu bahawa dia menulis teks itu ditulis "separuh-separuh" dan dibantu seorang bekas pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

Bagaimanapun, kemudian Aleh mengakui teks itu sebenarnya disediakan orang lain dan dia hanya membacanya sahaja.

“Bukan saya sebenarnya. Dia tulis dan saya ikut.

“ [...]Macam kita sendiri tak cakap, orang lain cerita kita pun bangga tak bangga. Tapi kena baca juga,” katanya lagi.

Sementara itu, mengulas tentang lawatan parti politik ke kampung itu, Aleh memaklumkan PH akan sekali lagi melakukan lawatan pada 26 Feb manakala BN akan datang sehari selepas itu.

Bagaimanapun, dia mengakui serba-salah kerana acara pada lusa acara PH akan melibatkan aktiviti karaoke, pemberian hamper, dan jamuan makan.

“Mereka cakap sepatutnya bagi hamper untuk memujuk orang mengundi tak boleh, tapi aku tengok, boleh. Hairan pula. Macam mana? Kalau orang lain ambil gambar, macam mana?” katanya lagi.

Bagaimanapun, Malaysiakini tidak dapat mengesahkan secara bebas dakwaan Aleh itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS