Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lebih baik Nazri Aziz sertai PH, kata MCA
Diterbitkan:  Feb 24, 2019 7:10 PM
Dikemaskini: 11:10 AM

PRK SEMENYIH | Ketua Pemuda MCA Nicole Wong Siaw Ting menyifatkan Setiausaha Agung BN Nazri Abdul Aziz berkempen untuk Pakatan Harapan (PH) apabila menggunakan sentimen perkauman ketika berkempen di Semenyih.

Wong berkata kenyataan Nazri mengguris kaum bukan Melayu dan menggesa agar beliau disiasat di bawah Akta Hasutan.

"BN tak perlu ahli politik yang kurang ajar, kurang cerdik dan gila seperti Nazri.

"Pada kempen PRK Semenyih, Nazri sekali lagi membuat kenyataan menyerang bukan Melayu. Jelas, Nazri seorang ahli politik yang berada dalam BN tapi sebenarnya berkempen untuk Pakatan Harapan (PH)," kata Wong dalam kenyataan media hari ini.

Justeru, kata Wong, lebih baik Nazri meninggalkan BN dan menyertai PH.

Wong berkata demikian sebagai merujuk kenyataan Nazri dalam ceramah di Beranang semalam.

Dalam ucapannya, Nazri menuduh kerajaan PH lemah dan terpaksa menyerahkan hak-hak Melayu kepada kaum lain.

Nazri berkata, perkara itu dapat dilihat dengan pelantikan bukan Melayu sebagai ketua hakim negara, peguam negara dan menteri kewangan.

Mengulas lanjut, Wong menegaskan bahawa tiada sesiapa yang mempersoalkan hak istimewa kaum Melayu.

Wong juga menuduh Nazri mempersoalkan sekolah jenis kebangsaan yang dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan.

"Kenyataan Nazri boleh dianggap sebagai hasutan, polis perlu menyiasat beliau," katanya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS