Bekas perdana menteri Najib Razak berjanji membawa isterinya, Rosmah Mansor ke Semenyih sekiranya BN menang dalam pilihan raya kecil (PRK) Semenyih 2 Mac ini.
Meskipun tidak menyatakan secara spesifik sama ada akan membonceng Rosmah menggunakan motosikal Yamaha Y15 - sempena imej penjenamaan semulanya ketika ini - Najib berhasrat membawa orang rumahnya yang mempunyai darah Minang ke Kampung Minang di kawasan itu jika BN berjaya mencatat kemenangan kedua bagi siri PRK selepas pilihan raya umum ke-14.
“Malam ini sangat-sangat bermakna kepada diri saya. Saya dapat sampai juga ke Kampung Minang ini sebab orang rumah saya orang Minang.
"Tapi malam ini saya tidak bawa dia sebab ini dalam kempen pilihan raya.
“Tetapi kalau menang Insya-Allah saya boleh bawa dia ke Kampung Minang ini. Boleh tuan puan?,” katanya seperti dilapor The Malaysian Insight.
Ucapan Najib itu disambut sorakan "boleh" oleh penduduk Kampung Minang, Semenyih.
Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dalam ucapan di sebuah program di Semenyih Selasa lalu, mencadangkan agar Najib membawa "yang seorang lagi itu" - yang dipercayai merujuk kepada Rosmah - dalam program kempennya.
“Kalau boleh, janganlah naik motor seorang (saja), bawalah yang seorang lagi tu. Boleh dia membonceng atas motor (bersama Najib),” kata Mohamed Azmin.
Selepas kekalahan BN dan pilihan raya umum dan disusuli beberapa siri pendakwaan mahkamah melibatkan Najib dan Rosmah, pasangan berkenaan jarang dilihat bersama.
Sebaliknya, Najib ketika ini menjenamakan dirinya dengan slogan 'malu apa, bossku', lengkap dengan motosikal yang popular di kalangan remaja itu sering tampil seorang diri dalam program yang dihadirinya.