PRK SEMENYIH | Menurut Ketua Dewan Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi, PAS dan Umno akan membentuk satu jawatankuasa bagi memastikan tiada lagi pertembungan tiga penjuru melibatkan kedua-dua parti itu di masa akan datang.
“Insya-Allah, dalam PRK (Pilhan Raya Kecil) dan sehinggalah PRU (Pilihan Raya Umum) akan datang, tidak akan berlaku lagi tiga penjuru, yang akan berlaku hanya dua penjuru. Inilah kekuatan yang sangat ditakuti oleh PH.
“Jika berlaku dua penjuru, bukan saja negeri Selangor akan beralih kuasa daripada PH kepada muafakat pembangkang ini, bahkan juga negeri-negeri lain termasuklah juga kerajaan persekutuan insya-Allah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis Ceramah Perdana Pentas Anak Muda di padang sepak takraw pusat daerah mengundi (PDM) Kantan Permai, di Semenyih semalam.
Ketika disoal berhubung hal tersebut, Khalil menjelaskan, persetujuan bersama itu telah dibuat sejak PRK yang pertama di Sungai Kandis lagi dan akan turut melibatkan PRU-15 yang dijadual berlangsung beberapa tahun akan datang.
“Ya, insya-Allah dua penjuru (pada PRU-15),” kata anak Presiden PAS Abdul Hadi Awang itu kepada pemberita selepas majlis selesai.
Sembilan orang wakil parti dalam jawatankuasa
Pengumuman itu dilakukan ketika spekulasi berkenaan kerjasama PAS-Umno masih belum surut ekoran pendedahan Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa PAS tidak akan menyokong Umno pada PRK Semenyih. Dakwaan itu dinafikan oleh PAS dan Umno.
Perkara tersebut turut disokong oleh Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Dr Asyraf Wajdi Dusuki ketika berucap dalam majlis sama.
Katanya, dalam satu pertemuan yang diadakan minggu lepas, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, meminta Umno mempercepatkan usaha memilih ahli jawatankuasa yang akan dibentuk.
“PAS sudah ada sembilan orang yang akan diketuai oleh timbalan presidennya sendiri, dan dia minta Umno pun ada juga sembilan orang.
“Selepas sahaja daripada PRK Semenyih, kita akan duduk bersama, bentuk jawatankuasa bersama dan kita akan pastikan menuju PRU-15, kita akan bersatu atas satu blok yang kuat untuk menumbangkan PH.
“Takkan ada pertembungan tiga penjuru yang tidak menguntungkan Islam,” jelas Asyraf.
Selain Khalil dan Asyaf, Ceramah Perdana tersebut turut dihadiri oleh Ketua Pemuda Parti Ikatan, Shahir Adnan; Ketua Pemuda Parti Berjasa, Iqbal Hakim Abdul Razak serta Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia Shahril Sufian Hamdan.
Dalam perkembangan lain, apabila disoal pemberita tentang adakah ayahnya akan turun bagi membantu kempen PRK Semenyih, Khalil meminta pemberita merujuk setiausaha politik Abdul Hadi sendiri.
“Itu kena tanya setiausaha politik dia,” jawabnya ringkas.