Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Badan Peguam sambut baik RCI siasat hakim
Diterbitkan:  Feb 22, 2019 8:33 PM
Dikemaskini: 12:33 PM

Badan Peguam Malaysia mengalu-alukan keputusan kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung salah laku badan kehakiman tetapi mahu terma rujukannya diperluaskan bagi melakukan pembaharuan menyeluruh.

"Kami mengulangi seruan kami kepada kerajaan untuk memperluas terma rujukan RCI untuk memasukkan cadangan untuk reformasi menyeluruh dan komprehensif bagi memperbaiki dan memperkuat institusi Kehakiman, di samping menangani semua tuduhan salah laku kehakiman.

"RCI ini memberikan peluang yang penting dan signifikan yang harus direbut oleh kerajaan," kata Presiden Badan Peguam Malaysia Malaysia, George Varughese dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengesahkan bahawa kabinet bersetuju menubuhkan sebuah RCI.

Ini selepas Hakim Mahkamah Rayuan, Hamid Sultan Abu Backer mendakwa berlaku salah laku, rasuah dan campur tangan dalam badan kehakiman.

Varughese berkata Badan Peguam Malaysia yakin anggota RCI akan melaksanakan tugas itu dengan penuh dedikasi dan berintegriti.

Beliau menambah badan itu juga sedar mengenai kebebasan dan integriti badan kehakiman dalam menegakkan kedaulatan undang-undang.

"Oleh itu, kami menyeru semua pihak untuk menunjukkan rasa hormat dan sokongan kepada RCI dan mandat yang diberikan kepadanya dengan menahan diri daripada membuat spekulasi atau memberi komen buruk terhadap tuduhan yang dibuat oleh Hakim Hamid Sultan, sehingga RCI menyimpulkan penyiasatannya dan penemuannya didedahkan, "katanya.

Varughese berkata Badan Peguam Malaysia juga bersedia membantu RCI berkenaan termasuk menyediakan kepakaran dan sumber yang ada.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS