Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PSM kecewa debat calon tak menjadi
Diterbitkan:  Feb 22, 2019 10:21 AM
Dikemaskini: 2:21 AM

PRK SEMENYIH | Parti Sosialis Malaysia (PSM) melahirkan rasa kecewa dengan keputusan Bersih membatalkan debat yang dirancang kerana beranggapan ia menyekat peluang calon lain untuk menyuarakan pandangan mereka.

Pengarah Kempen PSM, S Arutchelvan, berkata lebih malang keputusan Bersih itu dibuat hanya kerana calon BN dan PH enggan menyertainya.

"Mengapa perlu batalkan debat hanya kerana calon BN dan PH enggan menyertainya, sedangkan calon PSM dan calon bebas bersedia untuk berdebat?

"Tindakan pembatalan ini seakan-akan menunjukkan parti yang besar dan berkuasa sentiasa mempengaruhi keputusan untuk debat itu diadakan atau tidak.

"Dari segi semangat asalnya, debat ini diadakan untuk memberikan peluang yang sama kepada semua pihak meluahkan idea masing-masing, dan membolehkan rakyat menilai prestasi setiap calon secara dekat dan adil.

"Melalui debat ini, ia memberikan sedikit keadilan kepada parti kecil dan calon bebas untuk mengutarakan pandangan mereka kepada kumpulan sasaran yang besar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam calon BN, Zakaria Hanafi, menyifatkan pengajuran debat oleh Bersih - yang juga badan pemantau pilihan raya - itu tidak perlu disertainya kerana ia tidak menyelesaikan masalah rakyat.

PH tak lagi boleh kutuk 

Sebaliknya dakwa Zakaria, pengajuran program itu sekadar mahu memberi populariti kepada calon bertanding semata-mata.

Zakaria berkata dia memilih untuk bertemu seramai mungkin pengundi dan mendengar masalah mereka daripada berdebat.

Calon PH pula, Muhammad Aiman Zainali, berkata dia tidak akan menyertai debat tersebut jika calon BN tidak hadir.

Sementara itu, Arutchelvan berkata Bersih sepatutnya meneruskan program tersebut dan memberikan peluang kepada pihak yang berani berdebat menyuarakan pandangan masing-masing.

Katanya pembatalan debat yang sepatunya diadakan pada 25 Feb ini hanyalah satu kemenangan kepada pihak yang enggan menyertai program itu.

"Keenganan calon PH dan BN untuk berdebat menunjukkan bahawa mereka tidak bersedia untuk membawa suara rakyat Semenyih ke DUN Selangor.

"PSM juga kecewa dengan kepimpinan PH yang tidak berjaya meyakinkan calon mereka untuk menyahut cabaran.

"Dengan tindakan PH enggan berdebat, PH tidak lagi mempunyai sebarang legitimasi untuk mengutuk atau mempersendakan mana-mana pihak lawan yang tidak mahu berdebat dengan mereka dalam mana-mana isu pada masa depan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS