Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib dakwa Mahathir punca masalah FGV
Diterbitkan:  Feb 21, 2019 6:46 PM
Dikemaskini: 10:46 AM

Bekas perdana menteri Najib Razak hari ini mendakwa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebagai punca masalah semasa FGV Holding Bhd kerana memotong dana Felda pada tahun 1996.

Najib berkata Mahathir yang adalah perdana menteri keempat ketika itu, memaksa Felda supaya mencari dana sendiri daripada bergantung kepada kerajaan persekutuan. Ini kata Najib mengakibatkan Felda menghadapi kesukaran untuk menanam pokok kelapa sawit baru.

"Akhirnya, tanaman lama pokok kelapa sawit menjadi tua. Ketika, saya menjadi perdana menteri, jumlah hasilnya kepada satu hektar berkurang buat kali pertama dalam sejarah. Lebih parah, kebajikan peneroka Felda turut diabaikan.

 

“Mereka menggesa saya mengambil langkah-langkah proaktif, seperti meminjam dana dan menyenaraikan FGV di pasaran saham untuk membiayai kos penanaman semula secara besar-besaran, dan untuk membantu kebajikan peneroka.

"Sekiranya saya tidak melakukannya, pokok-pokok akan berumur dan hasilnya akan menurun, menyebabkan kehilangan Felda dalam satu atau dua dekad," kata Najib di Facebook hari ini.

FGV adalah sebuah syarikat pelaburan yang tersenarai di Bursa Malaysia pada tahun 2012, dengan mengumpul RM10 bilion sebagai tawaran awam permulaan (IPO) terbesar di dunia pada tahun itu.

Bagaimanapun, harga saham FGV terus merudum sejak ia disenaraikan. Ia kini jatuh sebanyak 74.6 peratus daripada harga tawarannya iaitu pada RM4.55.

Pada Januari lalu, Pengerusi FGV, Azhar Abdul Hamid dalam satu kenyataan kepada pemegang saham berkata pengurusan yang lemah, prestasi lembab oleh syarikat-syarikat usaha sama dan perniagaan bukan teras, selain kos penanaman semula pokok tua menyaksikan kemerosotan syarikat itu.

Merujuk kenyataan Azhar, Najib hanya memberi tumpuan kepada kos penanaman semula, dan menjelaskan bahawa ini mengurangkan pendapatan FGV kerana anak pokok mengambil masa lima tahun untuk matang.

"Ini menyebabkan kesan besar ke atas keuntungan FGV pada tahun-tahun awal selepas penyenaraian. Ganjaran sebenar sebelum menghadapi tahun-tahun kesukaran pada awal penanaman hanya akan dinikmati pada masa akan datang.

"Ia sangat kejam untuk memfitnah saya mengenai isu-isu Felda dan FGV kerana tujuan sebenar saya adalah untuk menyelesaikan masalah warisan yang tidak disebabkan oleh saya dan menyelamatkan Felda dan menjaga kepentingan peneroka," katanya.

Pada November lalu, FGV memfailkan saman terhadap 14 bekas pengarah atau eksekutif untuk mendapatkan semula RM514 juta kerugian yang dakwa syarikat itu disebabkan oleh pengambilalihan Asia Plantation Limited (APL) pada tahun 2014, perjanjian yang menurut banyak penganalisis adalah terlalu mahal.

FGV menuduh mereka yang dinamakannya itu sebagai gagal menunaikan kewajipan fidusi masing-masing, dan/atau kewajipan untuk menjalankan penjagaan, kemahiran dan ketekunan yang munasabah.

Syarikat itu juga menyaman bekas pengerusinya Mohd Isa Samad yang dilantik oleh Najib berhubung pembelian sebuah kondominium mewah yang juga didakwa dibeli pada harga yang melebihi nilai pasaran.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS