Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

PRK SEMENYIH | Bagi Presiden Amanah Mohamad Sabu, kini sukar mempercayai apa yang diperkatakan oleh pemimpin PAS, antaranya berkenaan sokongan parti itu.

Beliau - dahulunya timbalan presiden PAS - ditanya berkenaan pemimpin parti itu yang baru-baru ini menyuarakan sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Bohong, bohong. Dia bohong," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Masjid Penjara Kajang, hari ini.

"Bohong sudah jadi rukun bagi mereka (pemimpin PAS), (termasuk) bohong kepada Dr Mahathir. Mereka sudah mengaku boleh berbohong, apa yang mereka cakap pun saya anggap bohong," katanya.

Antara pemimpin PAS yang menyatakan sokongan itu adalah Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan dan Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob.

Isu 'sokongan PAS' timbul selepas Mahathir mendakwa Hadi berikrar menyokong pentadbirannya dan tidak akan menyokong Umno pada PRK Semenyih.

Ia dinyatakan dalam satu pertemuan yang turut dihadiri Takiyuddin dan Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada 15 Februari lalu.

Bagaimanapun Takiyuddin berkata sokongan itu demi menghalang dua parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang menurutnya mahu menyingkirkan Mahathir daripada kedudukan perdana menteri melalui undi tidak percaya.

Dakwaan itu dinafikan pemimpin PH, antaranya Presiden PKR Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Terdahulu, beberapa pemimpin tertinggi PAS membela Nik Abduh yang akhirnya mengakui rakaman suara dalam rakaman audio tular berkenaan penerimaan wang Umno, memang miliknya.

Mereka berkata langkah membuat penafian dibenarkan berdasarkan keperluan dan keadaan tertentu.

Ia susulan pengakuan Nik Abduh berhubung perkara itu, dan kenyataannya bahawa penafiannya sebelum ini atas gesaan pemimpin parti.


Baca'Wajib bohong demi jaga maslahat' - Abdul Hadi

BacaNik Abduh berbohong sebab PAS teruk difitnah, kata Hashim


Mengulas lanjut, Mohamad meluahkan kekecewaannya terhadap seorang anggota jawatankuasa pusat PAS. Walaupun tidak menyebut secara khusus, jelas beliau merujuk kepada Nik Abduh berkenaan isu rakaman audio itu.

“Dia kata pemimpin dia suruh bohong. Yang paling mengecewakan dia sebut ayah dia pembohong, sedangkan ayahnya ialah (allahyarham) tok guru Nik Aziz yang amat kami hormati.

“Jadi ahli-ahli PAS terserahlah. Kita harap ahli PAS semua dapat bersama-sama menyokong calon daripada PH (untuk PRK Semenyih),” katanya lagi.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS