Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bersatu nafi akar umbi sabotaj calon di Semenyih

PRK SEMENYIH | Bersatu menafikan khabar angin bahawa ahli akar umbi parti itu melakukan sebotaj kerana tidak berpuas hati dengan pemilihan Muhammad Aiman Zainali sebagai calon Pakatan Harapan (PH) di Semenyih.

Ketua Penerangan Bersatu Selangor, Sallehudin Amirudin, berkata ahli parti itu di peringkat akar umbi akur dengan keputusan pucuk pimpinan parti.

"Kita akur dengan keputusan pimpinan, kita tidak pernah [...] walaupun ada kecil hati dan sebagainya itu perkara biasa di kalangan ahli jawatankuasa atau ahli-ahli keseluruhannya.

"Tapi akhirnya kita bersatu, tetap mengutamakan apa yang telah kita putuskan berkenaan calon, dan calon ini adalah yang terbaik," katanya ketika ditemui di Semenyih, hari ini.

Sebelum ini tersebar khabar angin yang mendakwa pemilihan Muhammad Aiman sebagai calon PH kurang disenangi akar umbi parti itu di Semenyih.

Malah, ia mengakibatkan tular di media sosial yang mendakwa belasan pusat daerah mengundi (PDM) parti itu ditutup sebagai tanda bantahan.

Perkara itu tersebar pada hari penamaan calon selepas Muhammad Aiman sah dipertaruhkan PH bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Sementara itu Sallehudin berkata, tidak timbul isu kononnya Muhammad Aiman disabotaj oleh akar umbi parti itu.

"Jadi saya harap tidak ada isu berkaitan ini dengan pemilihan calon salah kononnya, tidak ada isu sama sekali.

"Ini lah calon terbaik yang kita ketengahkan di DUN Semenyih untuk kali ini," katanya.

Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih diadakan berikutan kematian penyandangnya allahyarham Mohd Bakhtiar Mohd Nor, 57, akibat sakit jantung.

Pada PRK kali ini Muhammad Aiman yang akan mempertahankan kerusi itu berdepan cabaran calon BN, Zakaria Hanafi serta calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul dan seorang calon Bebas yang juga aktivis masyarakat Kuan Chee Heng.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS