Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

PRK SEMENYIH | Parti Sosial Malaysia (PSM) bersikap realitik tentang harapan mereka untuk memenangi kerusi DUN Semenyih dan sedar ia bukan sesuatu yang mudah.

Namun ada sebab mengapa parti kecil itu tetap menyertai persaingan ketika peluang cerah lebih memihak kepada PH atau BN.

Anggota Jawatankuasa Pusat PSM Dr D Jeyakumar berkata PRK Semenyih adalah medan yang baik untuk mereka memberi pendidikan politik kepada orang ramai.

Katanya melalui PRK berkenaan PSM boleh menjelaskan mengapa parti dengan prinsip sosialis baik untuk rakyat Malaysia.

"Untuk 99 peratus rakyat Malaysia, dasar PSM adalah yang terbaik. Ini yang kami kena sampaikan kepada rakyat," katanya.

Justeru kata bekas anggota parlimen Sungai Siput itu dengan adanya PRK yang mendapat liputan media PSM boleh membentangkan dasar mereka mengenai kesihatan, pendidikan, perumahan, gaji, kebajikan warga emas dan sebagainya dengan lebih meluas.

Katanya PRK juga membuka ruang untuk PSM berdialog dengan orang ramai, dan tidak terhad di Semenyih saja, sebaliknya ke seluruh negara.

"Ini agenda jangka panjang kami untuk negara. Kami tidak main tipu-tipu atau sensasi saja, tetapi isu yang dibawa adalah perkara asas," katanya.

Manusia dibantu, alam dijaga

PRK Semenyih akan berlangsung pada 2 Mac ini. Ia diadakan ekoran kekosongan kerusi berkenaan dengan kematian penyandangnnya, Bakhtiar Mohd Nor pada 11 Jan lalu.

Persaingan mengisi kerusi tersebut menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan calon PH, Muhammad Aiman Zainali; Zakaria Hanafi (BN), Nik Aziz Afiq Abdul (PSM) dan Kuan Chee Heng (bebas).

Pada PRU ke-14 lalu PSM turut bertanding di Semenyih, namun wakil mereka, S Arutchelvan, berada di kedudukan terakhir daripada empat calon yang ada.

Jeyakumar (kiri) bersama calon PSM, Nik Aziz (tengah)

Mengikut daftar pemilih semasa PRU ke-14 lalu 68 peratus daripada lebih 53,200 pengundi di Semenyih ialah orang Melayu, diikuti 17 peratus Cina, 14 peratus India dan bakinya bangsa lain.

Pada PRK kali ini ada lebih 54,400 orang berdaftar layak mengundi.

Jeyakumar berkata untuk orang Melayu dan Islam dasar sosialisme yang dibawa PS tidak bercanggah dengan mana-mana agama.

Sebaliknya kata beliau ia lebih selaras dengan agama, berbanding dasar kapitalisme yang disifatkannya sebagai gelojoh, materialistik dan membabitkan persaingan secara habis-habisan.

"Sosialis ini bertujuan untuk membantu manusia, selain berhamoni dengan alam sekitar.

"Dialog kami ialah sosialisme sebagai sistem pentadbiran jauh lebih selaras dengan Islam dan agama lain berbanding kapitalisme.

"Jadi, apa masalahnya? Sosialisme bukan agama, kamu boleh terus berpegang pada agama kamu sendiri," katanya.

Menurut beliau dasar yang dibawa itu membolehkan masyarakat diatur secara saksama, manakala kekayaan negara diagihkan seadilnya.

Jeyakumar juga berkata ada pihak yang menyangka PSM ada kaitan dengan Parti Komunis Malaya dan ia menimbulkan kebimbangan.

Hakikatnya kata beliau bukan pertubuhan yang berjuang dengan mengangkat senjata sebaliknya melalui politik pilihan raya dengan menggunakan gerakan massa.

"Kami menggunakan pandangan awam, berkempen untuk mengetengahkan isu yang ada.

"Kami tidak mengangkat senjata," katanya sambil menambah, aliran sosialisme mempunyai banyak jenis.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS