Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penemuan sulung batu megalit di luar pengaruh wilayah Minangkabau

ULASAN | Belum pernah mana-mana rekod tertulis bahawa batu hidup atau nisan tinggi atau batu megalit ditemui di Johor atau sepanjang sempadan negeri itu dan Melaka atau Negeri Sembilan (dahulunya wilayah Johol).

Saya dibawa oleh sahabat pengkaji sejarah tempatan, Johan Jauhar dibantu penduduk tempatan, antaranya Cikgu Rosdi Ramli, melawat tiga lokasi batu megalit di tiga kawasan di Kampung Bekoh, daerah Tangkak dalam parlimen Ledang baru baru ini.

Boleh rujuk Youtube bertajuk “Menelusuri sejarah dan rahsia batu nisan megalit di Kg Bekoh Ledang Johor Part 02”.

Lokasi batu megalit di Kampung Bekoh, Johor seperti berikut:

  • Kampung Buyan, Bekoh - berada dalam tanah persendirian bersama nisan biasa.

  • Kampung Dok, Bekoh - Berada di belakang ladang ayam dan tanah wakaf.

  • Tanah Perkuburan Islam Bekoh - turut menempatkan makam ibu Tun Sulaiman Ninam Shah

Hal ini mengejutkan.

Ini kali pertama batu megalit ditemui di luar pengaruh wilayah Minangkabau, melibatkan Negeri Sembilan dan Melaka (khususnya Naning).

Kajian lanjut Batu megalit boleh dirujuk pada Jurnal Arkeologi Malaysia April 2018 volume 31, no 1, halaman 1-18 bertajuk “Kebudayaan megalit di Semenanjung Malaysia dari perspektif sosiobudaya dan etnoarkeologi”.

Kajian menunjukkan penemuan batu megalit di Malaysia hanya di Perak, Melaka, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak.

Jurnal kajian batu megalit

Dengan penemuan di Kampung Bekoh, Daerah Tangkak ini, maka bertambah satu lagi negeri ditemui batu megalit atau batu batu hidup (atau disebut nisan tinggi).

Sebelum ini, saya dibawa oleh pengkaji sejarah Naning terkenal, Luqman Alhakim ke tapak Batu megalit Datuk Perpatih Nan Sebatang di Jalan Semelenggang, Kampung Lubok Kepong, Simpang Ampat, Alor Gajah, Melaka.

Ia sangat memeranjatkan saya kerana tiada papan tanda, walaupun YB Adun Taboh Naning dan Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) pernah melawat pada 2016 seperti disiar akhbar Melaka Kini.

ADUN Taboh Naning bersama Perzim melawat batu megalit Datuk Perpatih Nan Sebatang di Kampung Lubok Kepong, Simpang Ampat, Alor Gajah, Melaka.

Saya juga ingin menarik perhatian agar papan tanda sejarah seperti “tapak megalit” dikemas kini di lokasi penemuan batu megalit ini bagi memudahkan pihak berkuasa dan penduduk tempatan memelihara makam purba orang Islam ini pada masa hadapan.

Papan tanda sejarah batu megalit yang dicadang dipacak di hadapan lokasi bersejarah di Bekoh atau lokasi lain.

Jika dilihat dari sudut geografi dengan meneliti peta lama sekitar kurun ke-19 ini, ternyata Kampung Bekoh berada tidak jauh dari Sungai Kesang dan Gunung Ledang (dahulu dikenali sebagai Mount Ophir) yang mana laluan penting pada masa silam.

peta lama Melaka dan Naning. 

Kesimpulannya, pegawai daerah Tangkak, mufti negeri johor, tuan kadi daerah Tangkak, YB exco pendidikan dan agama Johor, Yayasan Warisan Johor, YB exco belia, sukan dan kebudayaan negeri Johor bersama Jabatan Warisan Negara, Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) dan Lembaga Muzium Negeri sembilan perlu turun padang meneliti bagaimana boleh wujud batu megalit di kampung Bekoh, Johor tanpa disedari pihak berkuasa tempatan selama ini.

Di samping itu, timbul polemik bahawa dahulunya Kampung Bekoh, Johor ini pernah berada di dalam wilayah Naning.

Jangan dilupai bahawa di Daerah Tangkak juga telah ditemui dua lokasi batu Aceh berusia 500 hingga 600 tahun lalu iaitu dalam Puspen Sengkang dan Tanah Perkuburan Islam Sungai Karang Laut, Tanjung Gading.

Namun, masih belum diketahui tindakan berkesan daripada Yayasan Warisan Johor atau pejabat exco berkaitan.

Mungkin DYMM Sultan Johor dapat dijemput melawat Bekoh bagi melawat Batu megalit yang pertama kali disedari berada dalam wilayah Negeri Johor.

Dicadangkan juga agar kajian ilmiah Batu megalit ini perlu dilakukan seperti mana kajian batu Aceh yang dikaji Yayasan Warisan Johor pada tahun 1999 dan 2004.

Melalui tulisan ini, saya ingin mengukuhkan peranan Persatuan Sejarah Malaysia tempatan dan merancakkan industri pelancongan jika kawasan ini dibangunkan nanti menjelang Tahun Melawat Malaysia 2020.


MOHD AZLAN MOHD SHARIF ialah pengkaji sejarah bebas dan aktivis masyarakat.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS