Paling Popular
Terkini

PAS menafikan dakwaan sokongan kepada Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dibuat kerana mahu mengalih perhatian terhadap siasatan isu dana RM90 juta, kata Naib Presidennya Mohd Amar Nik Abdullah.

Menurutnya, sokongan kepada Dr Mahathir atas faktor kedudukan sebagai perdana menteri yang kini dipercayai diganggu pihak tertentu.

"Tidak timbul isu siasatan dana RM90 juta sebab perkara itu (sudah) disiasat SPRM, dan laporan sebelum ini menyatakan perkara itu tidak berlaku.

"Sokongan kita kepada Tun M atas sifat (kedudukan) perdana menteri in case kalau ada usaha guling atau undi tidak percaya.

"Kita beri jaminan kita akan bersama Dr Mahathir. Sokongan atas dasar untuk menjaga kepentingan agama, bangsa dan negara," katanya kepada media ketika ditemui di pejabatnya di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu media melaporkan Presiden PKR, Anwar Ibrahim berkata PAS berbohong berhubung dakwaan berlaku pengkhianatan parti komponen Pakatan Harapan (PH) terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Alih perhatian siasatan RM90 juta

Beliau berkata, tindakan itu menggambarkan PAS semakin terdesak mencari sokongan Bersatu dan Dr Mahathir.

"Dakwaan ini hanya naratif PAS untuk alih perhatian berhubung siasatan dana RM90 juta," katanya.

Sehubungan itu Mohd Amar berkata, tidak timbul soal kerjasama parti antara PAS dan Bersatu.

Katanya, PAS hanya bersedia untuk menyokong Dr Mahathir jika undi tidak percaya berlaku di parlimen.

"Kita ada dengar desas-desus ada perancangan dan usaha dibuat pihak tertentu di kalangan PH untuk tukar perdana menteri.

"Sebab kita rasa ia tidak sepatutnya berlaku dan kedudukan perdana menteri tak sampai setahun, ini tidak sihat dari segi politik," jelasnya yang juga timbalan menteri besar Kelantan.

Tambah beliau, PAS setuju jika Dr Mahathir menjadi perdana menteri selama dua tahun seperti disepakati oleh PH sebelum ini.

"Kalau dua tahun kita setuju. Tetapi kita dengar ia (dakwaan undi tidak percaya) akan berlaku pada Mac ini ketika parlimen bersidang.

"Pada pandangan kita berdasarkan maklumat benda ini akan berlaku sebab ada usaha.

"Jadi kita menyatakan sokongan untuk membantu Dr Mahathir, " tegasnya. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS