Paling Popular
Terkini

PRK SEMENYIH | Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali mengingatkan bekas perdana menteri Najib Razak - yang dilihat kian rancak menyertai kempen BN di Semenyih - agar turut membawa "seseorang" ke program kempennya.

“Jangan main-main, nanti 'bossku' datang naik motor esok, masuk Kampung Rinching Hilir, adalah budak-budak ikut (ucap) 'bossku, bossku!'

“Kalau boleh, janganlah naik motor seorang (saja), bawalah yang seorang lagi tu. Boleh dia membonceng atas motor (bersama Najib),” katanya sambil disambut tawa hadirin, ketika ceramah di Kampung Rinching Hilir, Semenyih semalam.

Biarpun tidak menyebut sebarang nama, Azmin dipercayai merujuk kepada isteri Najib, Rosmah Mansor yang lama tidak membuat kemunculan di acara awam.

Penjenamaan semula imej Najib - termasuk dengan tagline 'bossku' - tanpa disertai Rosmah, berbeza ketika beliau masih menjadi perdana menteri apabila isterinya itu sering di sisinya dalam majlis-majlis rasmi.

Semalam, program Najib di Bandar Tasik Kesuma menerima sambutan hangat apabila dihadiri kira-kira 1,000 orang. Najib sekali lagi akan tampil untuk program Jom Santai Bersama #Bossku Najib Razak di Taman Sri Haneco (20 Feb) dan Pekan Rabu Beranang (21 Feb).

Dalam pada itu, Azmin turut membangkitkan kejayaan kerajaan Selangor ketika diterajuinya selama kira-kira empat tahun, antaranya bantuan kepada peneroka, skim bantuan kepada peniaga, dan pengiktirafan sebagai negeri paling kaya dengan sumbangan 23 peratus dalam Keluaran Dalam Kasar Negara (KDNK).

Justeru, beliau meminta pengundi pada PRK Semenyih agar terus memilih PH.

Katanya lagi, Umnolah yang telah mengkhianati orang Melayu kerana menurutnya gagal menjaga badan seperti Felda dan Tabung Haji dengan baik.

“Bisik pada pengundi-pengundi di DUN Semenyih, yang khianat Felda ini Melayu Umno. Bukan Lim Kit Siang, bukan Lim Guan Eng, bukan DAP, bukan Cina.

“Tetapi pemimpin Umno yang khianat sehingga Felda bermasalah pada hari ini,” katanya.

Turut hadir dalam acara semalam ialah calon PH Muhammad Aiman Zainali, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS