Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gantirugi tahanan Sosma: K’jaan bayar Maria Chin RM25,000

Kerajaan bersetuju membayar ganti rugi RM25,000 kepada bekas pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah berhubung penahanannya pada 2016 di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

Gurdial Singh, peguam yang mewakili Maria, berkata tuntutan mahkamah yang difailkannya tahun lalu diselesaikan hari ini melalui penghakiman persetujuan di kamar hakim Mahkamah Tinggi, Nik Hasmat Nik Mohamad.

Prosiding itu turut dihadiri Peguam Kanan Persekutuan Kamal Azira Hassan yang bertindak bagi pihak ketiga-tiga defendan -ketua polis negara, menteri dalam negeri dan kerajaan Malaysia

Beliau berkata semua defenden juga bersetuju membayar RM5,000 sebagai kos kepada Maria.

Penyelesaian oleh kedua-dua belah pihak itu dirakamkan tanpa pengakuan liabiliti oleh kerajaan dan polis.

Maria, 63, ditahan di bawah Sosma selama 10 hari sebelum perhimpunan Bersih 5 pada 2016.

Maria, yang kini adalah ahli parlimen Petaling Jaya, memfailkan saman itu pada 6 Ogos tahun lalu. Beliau mendakwa bahawa penahanannya di bawah Sosma adalah tidak sah.

Kes itu masih belum dibicarakan dan pada peringkat pengurusan kes.

Pada 6 Ogos tahun lalu, Maria, menyaman ketiga-tiga defendan atas dakwaan menyebabkannya ditangkap, ditahan dan dipenjara secara salah di bawah Sosma.

Dalam penyataan tuntutan, Maria mendakwa beliau telah ditangkap dan ditahan di bawah Sosma di pejabat Bersih pada 18 Nov 2016 dan barang-barangnya turut dirampas termasuk telefon bimbit, peralatan komputer dan beberapa dokumen.

Dakwanya, penangkapannya dibuat berdasarkan atas kepercayaan politik dan dibuat bagi melayani kehendak parti yang merupakan kerajaan ketika itu bagi menggagalkan perhimpunan aman diadakan serta untuk menakutkan orang awam dari menyertai perhimpun berkenaan.

Maria mendakwa penahanannya selama 10 hari bermula 18 Nov 2016 adalah bertujuan untuk menindasnya berikutan beliau terpaksa tidur dalam sel individu tanpa tingkap dan tidur atas lantai konkrit dengan hanya beralaskan sekeping kayu tanpa dibekalkan tilam, bantal dan selimut.

Dalam penyataan pembelaan difailkan pada 3 Okt tahun lalu, semua defendan mendakwa tangkapan dan penahanan plaintif adalah sah mengikut undang-undang dan bukannya dibuat atas dasar politik atau niat jahat.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS