Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Siapa bohong soal pendirian PAS di Semenyih, soal Mahfuz
Diterbitkan:  Feb 17, 2019 11:58 AM
Dikemaskini: 4:09 AM

Naib presiden PAS Mahfuz Omar hari ini mempersoalkan percanggahan kenyataan dalam kalangan pemimpin PAS berhubung sama ada parti itu akan menyokong BN dalam kempen pilihan raya kecil (PRK) Semenyih.

Timbalan menteri sumber manusia itu turut mempersoalkan sama ada benar Presiden PAS Abdul Hadi Awang memaklumkan Dr Mahathir Mohamad bahawa partinya tidak akan menyokong Umno di Semenyih, seperti didakwa perdana menteri itu semalam.

"Sekiranya benar kenyataan Dr Mahathir itu, ia adalah sesuatu yang sangat mengejutkan.

"Perakuan tersebut dikatakan dibuat di hadapan Dr Mahathir sehari sebelum penamaan calon PRK Semenyih, ia menimbulkan persoalan apakah perakuan Abdul Hadi itu benar atau bohong?

"[...] Timbul persoalan, apa muslihat Presiden PAS membuat perakuan tersebut di hadapan Dr Mahathir sedangkan PAS sudah menyatakan dari awal lagi akan menyokong Umno BN untuk menguatkan pembangkang," katanya melalui kenyataan media.

Mengulas lanjut, Mahfuz mengungkit pengakuan berhubung isu rakaman audio Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang dinafikan oleh pemimpin PAS sejak tular pada Mac tahun lalu.

"Nik Abduh mengatakan presiden PAS telah merestui tindakannya berbohong kerana katanya tak salah berbohong kerana menjaga kepentingan PAS.

"Pesuruhjaya PAS Selangor dari awal lagi menyatakan PAS akan memastikan lebih enam ribu undi yang diperolehi PAS pada PRU ke-14 yang lalu akan diberikan kepada Umno BN pada PRK kali ini.

"Adakah ini sekali lagi kaedah pembohongan syarie dibuat oleh PAS demi kepentingan tertentu?" kata Mahfuz.

Dalam pengakuannya sebelum ini, Nik Abduh menyifatkan tindakannya menafikan rakaman audio berkenaan pada mulanya sebagai "pilihan syarie".

Abdul Hadi ketika diminta mengulas isu itu pula berkata, "wajib berbohong" demi menjaga kemaslahatan sekiranya ia bertujuan menyelamatkan nyawa seseorang daripada penjahat.

Mahathir atau Hadi?

Persoalan berhubung pendirian PAS dalam PRK Semenyih timbul selepas Dr Mahathir mendakwa dalam pertemuannya dengan Abdul Hadi, beliau dimaklumkan bahawa PAS tidak akan menyokong Umno di Semenyih.

Melalui kenyataan susulan di Facebook, Abdul Hadi tidak menghuraikan dakwaan Dr Mahathir dan sekadar berkata perjumpaannya dengan perdana menteri itu berbincang mengenai hal-hal pentadbiran.

Perkembangan itu hadir ketika BN dan PAS dilihat semakin terbuka dalam mengadakan kerjasama terutamanya dalam beberapa siri PRK. Kerjasama itu dilihat membuahkan hasil pada PRK Cameron Highlands bulan lalu.

Sementara itu, Mahfuz mempersoalkan kenyataan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa PAS akan mengerahkan jentera membantu kemenangan calon BN di Semenyih dan kehadiran pemimpin PAS mengiringi calon BN pada hari penamaan calon.

"Persoalannya, mana satu yang benar dan mana satu yang bohong?

"Apakah perakuan Abdul Hadi pada Dr Mahathir semalam dibantah oleh pimpinan PAS dan menjadikan perakuan Abdul Hadi satu pembohongan kepada Dr Mahathir?

"Atau PAS sedang berbohong pada Umno BN menjadikan Umno BN sebagai mangsa kedua pembohongan selepas ahli dan pengundi PAS menjadi mangsa pertama.

"Jadi, siapa yang sebenarnya berbohong?" soal Mahfuz.

Tindakan dan pendirian pimpinan PAS yang tidak konsisten itu, kata Mahfuz lagi, menimbulkan persoalan siapa sebenarnya yang berbohong di kalangan pimpinan PAS.

"Adakah pimpinan PAS sedang pakat berbohong secara berjemaah. Sungguh kasihan kepada ahli PAS yang sangat terkeliru dengan tindak tanduk pimpinannya," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS