Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Shabudin: Perda jual tanah dibuat secara muafakat

Anggota Parlimen Tasek Gelugor, Shabudin Yahaya mengalu-alukan siasatan terhadap pengurusan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) yang didakwa telah mencemarkan reputasi agensi berkenaan.

Bekas anggota parlimen Umno yang menyertai Bersatu pada 12 Feb lalu itu berkata kesemua bekas ahli lembaga pengarah Perda berharap siasatan itu akan menjelaskan semua isu yang dibangkitkan.

Beliau berkata mereka juga bersedia untuk bekerjasama dan membantu pengerusi Perda yang baru, Mohd Haniff Katri Abdulla dan pengurusan Perda untuk menyelesaikan isu-isu tersebut.

"Keputusan oleh lembaga pengarah Perda semuanya dibuat secara konsensus dalam setiap perjumpaan Perda, yang dipantau dengan teliti oleh pegawai tertinggi Perda seperti ICU, Kementerian Kewangan dan Unit Perancangan Ekonomi," kata Shabudin dalam sidang akhbar di Tasek Gelugor, Pulau Pinang hari ini.

Shabudin berkata ahli lembaga pengarah Perda telah mengambil banyak langkah untuk memperbaiki prosedur dan sistem dalam agensi itu, yang dikatakan kurang berkesan dan ketinggalan zaman.

Lembaga itu juga katanya sentiasa meletakkan kepentingan Perda selaras dengan objektif yang ditetapkan dalam Akta Perda untuk memastikan fungsinya mencapai sasaran iaitu bumiputera Pulau Pinang.

Shabudin turut berharap kes itu dapat diselesaikan dengan cara "adil dan bermanfaat" bagi semua pihak.

Semalam Haniff memaklumkan Perda mengambil tindakan undang-undang terhadap Shabudin, bekas ahli lembaga pengarah dan pembeli yang terlibat dalam urus niaga dua bidang tanah yang didakwa dijual dengan harga di bawah nilai pasaran.

Dalam satu sidang akhbar diadakan di Butterworth, Haniff berkata dua saman yang berasingan telah difailkan pada 13 dan 14 Feb di Mahkamah Tinggi di George Town untuk memperoleh semula tanah tersebut atau ganti rugi serta bayaran bunga kerana agensi itu telah kerugian disebabkan jualan tanah dengan harga murah itu.

Kedua-dua plot tanah itu ialah 9.36 ekar di Kampung Tok Keramat, Nibong Tebal bernilai RM17.7 juta dan 5.8 ekar di Sungai Baong, Jawi bernilai RM1.9 juta.

Haniff berkata kes-kes tersebut melibatkan dakwaan "penipuan, salah guna kuasa dan kecuaian melampau".


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS