Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Audio Nik Abduh: Hadi tak ada masa dengar benda dah lalu
Diterbitkan:  Feb 16, 2019 8:15 AM
Dikemaskini: 12:18 AM

Ia sudah disahkan secara rasmi oleh Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, manakala tuan punya badan memberi penjelasan mengenainya.

Audio 'panas' yang asalnya dinafikan, kini benar-benar milik Nik Abduh Nik Abdul Aziz. Malah apa yang berlaku di sebalik peristiwa itu juga terkuak sedikit demi sedikit.

Namun masih ada persoalan yang belum terjawab. Misalnya pembabitan secara langsung Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Menurut Nik Abduh, beliau membuat penafian sebelum ini dengan restu Abdul Hadi dan ia mengejutkan banyak pihak.

Malam tadi apabila diajukan soalan mengenainya terus kepada Abdul Hadi, anggota parlimen Marang itu tidak teragak-agak memberikan jawapan, namun ia tidak jelas.

Ditemui media di Alor Limbat, Terengganu malam tadi, Abdul Hadi berkata beliau enggan memberi komen kerana tidak mendengar audio berkenaan.

Ditanya sama ada beliau benar-benar memberi restu kepada Nik Abduh 'berbohong' Abdul Hadi menjawab: "Betul tak betul, saya kena tengok (dengar) dulu dan baca dulu sebab banyak perkara dan saya juga sibuk hal-hal lain."

Didesak terus untuk menjelaskan hal itu Abdul Hadi yang pernah menjadi menteri besar Terengganu selama satu penggal pada 1999 dulu berkata, beliau akan meneliti audio Nik Abduh itu jika ada kelapangan.


Baca Nik Abduh 'tamu tak diundang' di majlis Team Lawan Jebon


"Itu terpulang, tengok kepada kelapangan (yang ada). Lagi pun saya banyak kerja-kerja lain.

"Saya tak ada masa nak dengar benda-benda yang dah lalu," katanya.

Terdahulu Abdul Hadi menghadiri majlis sambutan Tahun Baru Cina Dewan Undangan Negeri Alor Limbat.

Untuk rekod audio Nik Abduh itu didakwa dirakam ketika beliau menghadiri satu majlis melibatkan kumpulan aktivis PAS di Puchong beberapa tahun lalu.

Ia menarik perhatian ramai kerana anak bekas mursyidul Am PAS itu kedengaran berang apabila menjelaskan isu pengambilan wang Umno.

Nik Abduh juga mendakwa mempunyai hubungan yang baik dengan Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat sehingga pelbagai perkembangan di negara jiran berlaku dalam pengetahuannya.

Walaupun sebelum ini menafikan beliau adalah orang yang mengucapkan kata-kata itu - dan menganggapnya sebagai "sampah yang tak layak dimakan kecuali pelahap fitnah seperti PAN (Parti Amanah Negara) dan sekutunya" - beliau kemudian membuat pengakuan sebaliknya baru-baru ini.

Malah kata Nik Abduh tindakan itu turut mendapat restu daripada Abdul Hadi. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS