Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
5 MP, 8 Adun Sabah mohon sertai Bersatu
Diterbitkan:  Feb 15, 2019 6:34 PM
Dikemaskini: 10:34 AM

Lima Ahli Parlimen dan lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di Sabah yang meninggalkan Umno pada akhir tahun lalu sudah menyerahkan borang permohonan untuk Bersatu.

Portal Berita Harian Online yang memetik bekas pengerusi Umnor Sabah, Hajiji Noor, berkata hasrat mereka menyertai parti itu menjadi semakin cerah dengan pengumuman perdana menteri yang juga pengerusi Bersatu, Dr Mahathir, mengenai kemasukan parti berkenaan ke Sabah.

“Kita bersyukur dengan pengumuman bahawa Bersatu akhirnya akan membuka cawangan di Sabah. Kita berterima kasih kepada perdana menteri yang juga pengerusi Besatu, Tun Dr Mahathir Mohamad atas keputusan itu.

“Buat masa sekarang, kira-kira 100,000 ahli sudah menghantar permohonan menyertai Bersatu. Memang kami berhasrat dari awal lagi untuk menyertai Bersatu,” katanya.

Portal itu turut melaporkan antara bekas ahli parlimen Umno Sabah yang mahu menyertai Bersatu ialah Abdul Rahim Bakri (Kudat), Azizah Mohd Dun (Beaufort), Zakaria Edris (Libaran), Ronald Kiandee (Beluran) dan Yamani Hafez Musa (Sipitang).

Bagi Adun, selain Hajiji (Sulaman), bakinya ialah Japlin Akim (Usukan), Isnin Aliasnih (Klias), Nizam Abu Bakar Titingan (Apas), Mohd Arifin Arif (Membakut), Masidi Manjun (Karanaan), Ghulam Khan Bahadar (Kawang) dan Musah (Lumadan).

Dr Mahathir hari ini berkata, kemasukan Bersatu ke Sabah bukan untuk menentang pentadbiran ketua menteri, Shafie Apdal yang mengetuai Warisan.

Sebaliknya, kata beliau dengan adanya Bersatu di negeri di bawah bayu itu, ia akan mengukuhkan lagi kerajaan negeri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS