Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MIC dakwa MB Selangor kelirukan isu kes tanah kuil

Seorang pemimpin MIC hari ini mendakwa Menteri Besar Selangor Amirudin Shari membuat kenyataan yang tidak cermat dan mengelirukan mengenai isu tanah Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya.

Anggota Jawatankuasa Kerja Pusat MIC, R T Rajasekaran, berkata Amirudin tidak mendapat maklumat yang betul semasa membuat kenyataan itu semalam.

"Menteri besar perlu mendapatkan semua fakta sebelum membuat kenyataan.

"Kenyataan beliau itu boleh menyebabkan kekeliruan dan panik dalam kalangan para penganut Hindu di kawasan berkenaan," katanya kepada Malaysiakini.

Semalam Amirudin dilaporkan Malaysiakini sebagai berkata semua pihak yang terlibat dalam pertikaian undang-undang mengenai Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya itu perlu menghormati dan menerima keputusan mahkamah yang membatalkan saman bagi menghalang binaan tersebut.

Kata menteri besar Selangor itu gesaan tersebut dibuat bagi menjamin ketenteraman awam dan keluhuran undang-undang terpelihara.

"Kerajaan Selangor sedia bekerjasama dengan semua pihak bagi mematuhi dan melaksanakan keputusan hakim dan akan mengambil segala langkah yang perlu bagi menjamin kesentosaan negeri," katanya.

Terdahulu Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 13 Feb menolak permohonan 50 plaintif untuk menghalang syarikat pemaju One City Development Sdn Bhd daripada mengambil tapak Kuil Sri Maha Mariamman.

Hakim Wong Kian Kheong dalam penghakimannya berkata, 50 penganut Hindu yang bertindak sebagai plaintif tiada locus standi untuk menyaman lima defendan.

Salah satu defendan ialah syarikat pemaju tersebut.

Rajasekaran juga bertindak sebagai peguam kepada plaintif 

Rajasekaran berkata kenyataan Amirudin itu boleh membawa masalah baru kepada penganut Hindu dan kerajaan.

Justeru katanya menteri besar itu boleh dianggap tidak senstitif.

Rajasekaran yang juga peguam kepada pihak plaintiff dalam kes tersebut menegaskan kenyataan Amirudin itu memberi gambaran seolah-olah kuil itu bakal akan dirobohkan pada bila-bila masa.

"Perlu diingat Pejabat Peguam Negara sedang berbincang untuk memindahkan tanah daripada pemaju kepada jawatankuasa kuil baru selepas One City Development sedia memberikan tanah tersebut kepada pihak kuil," katanya.

Menurut Rajasekaran fakta itu sepatutnya diketahui Amirudin jika menteri besar terbabit mendapat maklumat daripada Penasihat Undang-undang Selangir.

Rajasekaran turut menyatakan pertikaian kes itu bermula apabila kerajaan negeri mengambil sikap sambil lewa ketika berunding dengan kedua-dua pihak.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS